TAZNAKHT, MAGHRIBI – Di selatan Maghribi, wanita adalah penjaga kraf tenunan permaidani berusia beberapa abad, satu bentuk seni rumit yang sering menyebabkan mereka memperoleh pendapatan yang tidak seberapa.
Wanita seperti Ijja Benchri, yang mencipta permaidani di alat tenun kayu di luar rumah kecilnya di kampung Tazenakht, mengikuti tradisi yang telah diwarisi sejak beberapa generasi.
“Saya bermula ketika berusia 11 atau 12 tahun, meniru wanita yang saya lihat menganyam,” kata Benchri, 60.
“Sedikit demi sedikit, saya belajar, dan ia menjadi kerja hidup saya.”
Terkenal dengan corak geometri yang berani dan warna-warna terang, permaidani tenunan tangan itu merupakan pemandangan umum di pasaran tempatan dan kegemaran dalam kalangan pelancong.
Pada 2022, permaidani tradisional menyumbang hampir 22 peratus daripada eksport artisan negara itu, menurut data kerajaan.
Perkampungan pergunungan di sekitar Tazenakht terkenal dengan permaidani Ait Ouaouzguit, dinamakan sempena suku asli Amazigh, salah satu daripada kumpulan beberapa komuniti asli Afrika Utara yang telah lama dirujuk sebagai Berber.
Permaidani ditenun oleh kaum wanita menggunakan alat tenun tradisional yang kecil, sama ada di rumah atau di bengkel khusus.
Hamparan tersebut kemudiannya dikategorikan dalam pelbagai gaya, bergantung pada kawasan asal dan reka bentuk mereka.
Beberapa permaidani terbaik Maghribi dibuat daripada bulu biri-biri berkualiti tinggi di Jbel Sirwa di selatan Pergunungan Atlas, dan dicelup menggunakan pigmen semula jadi daripada tumbuhan seperti inai, kulit delima atau nila.
Walaupun pewarna industri telah menggantikan yang semula jadi untuk kebanyakan penenun disebabkan ia lebih murah dan boleh dihasilkan dengan lebih cepat.
“Tradisi ini telah diwarisi sejak berkurun lamanya, daripada ibu kepada anak perempuan,” kata Safia Imnoutres, yang mengetuai koperasi tenun wanita tempatan.
Dia adalah salah seorang wanita yang mempamerkan ciptaan mereka pada festival baru-baru ini di Taznakht yang didedikasikan untuk memelihara warisan.
‘DATANG DARI DALAM’
Mencipta satu permaidani boleh mengambil masa dua hingga empat minggu bergantung pada saiznya, menurut Benchri, bercakap dalam Tamazight, bahasa masyarakat yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi selain bahasa Arab di Maghribi.
“Saya memilih warna semasa saya menenun, mengikut perasaan saya,” tambahnya.
Imnoutres juga menyifatkan proses itu sebagai ‘kenalurian’, dibimbing oleh emosi dan bukannya reka bentuk yang telah ditetapkan.
“Menenun adalah luahan perasaan wanita, apabila mereka berasa gembira, apabila mereka berasa sedih,” tambahnya. “Ia adalah seni yang datang dari dalam.”
Di samping nilai seninya, tenunan adalah sumber pendapatan yang penting.
Setiap hari Khamis, ramai penduduk akan berkunjung ke pasar mingguan untuk menjual permaidani mereka, selalunya kepada orang tengah yang menetapkan harga.
Secara purata, permaidani besar dijual pada harga hanya 250 dirham Maghribi (sekitar AS$24), dengan harga terakhirnya kemudian meraih keuntungan amat besar.
Di bandar seperti Marrakech, kira-kira 250 kilometer di utara Taznakht, ia dijual di bazar sehingga sepuluh kali ganda harga asal.
Permaidani lain disenaraikan pada harga sehingga AS$6,000 di platform dalam talian.
“Kami mendapat keuntungan yang amat sedikit,” kata Benchri.
“Pengantara atau orang tengah menentukan harga dan kami tidak mempunyai pilihan selain menerimanya kerana ini adalah rezeki kami.”
Pulangan yang semakin berkurangan ini, tambahnya, telah menyumbang sehingga menjadikan kraf itu kurang menarik untuk wanita muda dan menjejaskan tradisi kraf tangan.
Selain itu, kemasukan permaidani buatan mesin yang lebih murah telah meningkatkan persaingan.
Untuk menangani cabaran ini, ruang pameran baharu yang dibuka di Tazenakht membolehkan beberapa penenun menjual hasil kerja mereka terus kepada pembeli, memintas orang tengah.
Pusat ini juga cuba membuka ruang baharu untuk wanita berkenaan menjual produk mereka secara bebas melalui kursus dalam pemasaran digital.
“Jika warisan ini tidak dijadikan berdaya maju dari segi kewangan, kami berisiko kehilangannya,” Imnoutres memberi amaran. – AFP