BEIJING, 16 MEI – Pasukan penyelidik China telah berjaya melukis peta rangkaian otak kera yang akan membantu menjelaskan corak organisasi tahap makroskopik otak manusia.
Peta itu, yang dicipta oleh penyelidik di Institut Automasi Akademi Sains China, membahagikan otak kera kepada 304 kawasan yang berbeza dan secara kuantitatif menggambarkan corak sambungan anatomi dan fungsi setiap rantau.
Tingkah laku manusia yang kompleks didorong oleh rangkaian fungsi yang berbeza di dalam otak. Rangkaian ini pada asasnya adalah koleksi kawasan otak yang berkomunikasi antara satu sama lain melalui sambungan berfungsi.
Memandangkan kera sangat mirip dengan manusia dari segi genetik, fisiologi dan struktur otak, spesies tersebut merupakan model ideal untuk mengkaji mekanisme fungsi kognitif manusia dan boleh digunakan dalam simulasi penyakit otak manusia, kata Jiang Tianzi, seorang penyelidik di institut itu.
Peta otak panoramik yang menyatakan organisasi ruang dalam otak kera adalah hasil penyelidikan penting kerana ia boleh diterjemahkan untuk kajian otak manusia, kata Jiang.
Ia membantu pemahaman kita tentang fungsi otak dan akan memajukan bidang penyelidikan yang penting seperti perubatan translasi, perbandingan rentas spesies dan permodelan digital otak. – Xinhua