Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Lyna Mohammad
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Huda Purnawadi dari Indonesia diumumkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang wang tunai $3,000 dalam Pertandingan Seni Khat Peringkat ASEAN sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) ke-30 tahun pada 5 Oktober lalu.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Miftahul Huda dan Muhammad Syamsudin, kedua-duanya juga dari Indonesia, di mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai $2,000 dan $1,000.
Manakala itu, empat orang memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai $500.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah pada majlis yang berlangsung di Dewan An Naura, Kompleks Yayasan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Di penghujung acara, tetamu kehormat turut menyaksikan karya-karya para pemenang yang juga akan dipamerkan di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan (PPKKI-YSHHB), Rumah Semaun, Jalan Jerambak.
Pertandingan berkenaan merupakan yang julung-julung kalinya diadakan anjuran PPKKI-YSHHB dan Yayasan dengan disertai oleh seramai 24 orang peserta dari dalam dan luar negara.
Penganjurannya adalah selaras dengan hasrat penubuhan PPKKI-YSHHB bagi memartabatkan tulisan Jawi khususnya kaligrafi Islam.
Ia juga dihasratkan untuk memupuk minat serta mengasuh bakat dan kemahiran orang ramai dalam seni khat.
Pertandingan berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai (negara-negara ASEAN) dan berkonsepkan karya siap bermula 15 Ogos hingga 28 Oktober.
Medium yang dibenarkan untuk digunakan adalah Waraq Muqahhar dan warna bebas sahaja.
Manakala ayat yang ditetapkan adalah dari Surah Al-Isra iaitu ayat 82 hingga 87 mengikut tiga jenis khat sahaja iaitu Khat Tsuluts Jali (ayat 82), Khat Tsuluts Adi (ayat 83-84), dan Khat Nasakh (ayat 85-87).
Karya para peserta telah dihakimi oleh tiga orang hakim iaitu Hakim Pertandingan Khat Kebangsaan Brunei Darussalam, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku ketua hakim; Yang Di-Pertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahman bin Hamzah; dan Tenaga Pengajar
Pasentren Kaligrafi Al-Quran LEMKA, Indonesia, Teguh Prestio yang juga juara Pertandingan Seni Khat Peringkat Antara-bangsa kategori Tsuluts anjuran IRCICA, Republik Turkiye 2022 Indonesia.
Antara pengisian program bagi pertandingan itu ialah Bengkel Seni Khat yang telah diadakan pada 21 Disember lalu di PPKKI-YSHHB, Rumah Semaun, Jalan Jerambak.