Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Sekumpulan belia dan remaja dari Kampung Setia ‘A’ dan kampung-kampung berdekatan telah menyertai Pesta Sukan Air, dengan menggunakan perahu yang dipanggil ‘Perahu Labi-Labi’, yang diadakan pagi tadi bertempat di Perairan Sungai Brunei, di ibu negara.
Pesta Sukan Air berkenaan dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya ialah Kategori Kanak-Kanak, Kategori Remaja dan Kategori Dewasa. Muncul juara bagi Kategori Remaja ialah Awang Malik dari Kampung Bolkiah ‘B’, manakala Kategori Dewasa pula dimenangi oleh Awang Abdul Aziz dari Kampung Perumahan Saba.
Salah seorang penduduk Kampung Setia ‘A’, Haji Mizan bin Haji Masri ketika ditemu bual menceritakan acara ini adalah atas anjuran Awang Shahrudin bin Awang Gafar yang juga merupakan penduduk kampung berkenaan.
“Walaupun ianya diberigakan dalam waktu yang sangat singkat sebagai kesinambungan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, antara objektif acara ini adalah bagi mengeratkan silaturahim sesama penduduk kampung, dan juga bagi menghidupkan kembali permainan tradisi penduduk Kampong Ayer di zaman 1980-an. Sambutan acara berkenaan amatlah menggalakkan sehingga anak-anak belia dan penduduk kampung yang berdekatan juga ikut serta. Insya Allah acara seperti ini akan direncanakan secara lebih teratur serta dijadikan sebagai antara aktiviti khusus ketika negara mengadakan perayaan dan sebagainya di masa akan datang, tambah Haji Mizan.
Malah ia seharusnya dijadikan sebagai satu program atau aktiviti yang boleh menarik minat ramai, terutamanya para pelancong yang datang dari rantau Asia dan Eropah.