Pelawak Pete Davidson sanggup membelanjakan wang sebanyak AS$200,000 untuk membuang tatu yang memenuhi tubuhnya.
Berkongsi pengalaman membuang tato, Pete, 31, menjelaskan proses itu membakar lapisan kulit melalui teknik laser dan ia amat menyakitkan.
Apa membuatkan dia lebih risau apabila terpaksa mengulangi proses sama sebanyak 12 sesi sebelum tatu di badannya benar-benar hilang.
“Proses itu membakar lapisan kulit saya dan memerlukan tempoh selama enam ke lapan minggu untuk sembuh dan tidak boleh terkena cahaya matahari.
“Ia agak mengerikan. Jadi sesiapa di luar sana yang terfikir untuk mencacah tatu, pastikan awak berfikir masak-masak sebelum melakukannya,” katanya.
Pete memberitahu dia mempunyai lebih daripada 200 jenis tatu di seluruh tubuhnya.
Dalam pada itu, Pete menjelaskan keputusan membuang tatu kerana merasakan ia beban selain menyukarkan dia membawa sesuatu watak.
Malah kata Pete, dia terpaksa menghabiskan masa yang lama di set penggambaran untuk menutup tatu dengan solekan jika perlu menjayakan babak memerlukan dia tidak berpakaian.
Pun begitu kata Pete, dia akan mengekalkan beberapa tatu di tubuhnya yang memiliki memori tersendiri. – Agensi