MENJAGA pemakanan ketika hamil merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan. Dengan amalan penjagaan makanan yang betul setentunya akan dapat membekalkan sumber nutrien yang diperlukan bagi membantu proses perkembangan anak damit dalam kandungan.
Selain dapat membekalkan nutrien buat anak damit, dengan amalan penjagaan makanan yang betul juga dapat memastikan kesihatan diri sepajang tempoh proses kehamilan.
Kecergasan dan kepintaran otak anak damit bermula seawal usia janin yang terbentuk selepas disenyawakan. Ia bermula dengan pembentukan neural plate embrio sekitar hari ke-16 selepas proses persenyawaan.
Kemudian ia membentuk menjadi neural tube pada hari ke-22. Hari demi hari, proses pembentukan saraf dan otak anak damit akan berkembang pesat sehingga ia menjadi lengkap selepas dilahirkan. Justeru, soal pemakanan menjadi perkara penting untuk anda ambil berat ketika hamil.
Ia adalah bertujuan bagi memastikan proses perkembangan otak anak damit berjalan dengan lancar dan sempurna. Pada kebiasaannya ketika anda melakukan pemeriksaan, doktor akan menyarankan anda beberapa vitamin tambahan untuk membantu tumbesaran otak anak damit dalam kandungan.
Asid folik
Asid folik adalah nutrien penting dalam pembentukan sel otak. Ia juga penting untuk memastikan bahagian saraf tunjang anak damit untuk terbentuk dengan sempurna.
Adalah digalakkan untuk mengambil asid folik seawal tiga bulan sebelum hamil hingga bulan ketiga kehamilan. Dos yang diperlukan adalah sekitar 400 mcg sehari.
Obimini
Pada kebiasaannya, vitamin ini diambil selepas usia kandungan berumur tiga bulan. Ia adalah vitamin lengkap yang bakal membantu perkembangan dan pertumbuhan anak damit dalam kandungan.
Iberet folik
Vitamin ini sesuai untuk diambil oleh anda sekiranya mengalami masalah tekanan darah rendah. Namun jangan sekali ambil vitamin ini tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu. Antara kesan sampingan yang bakal dilalui selepas mengambilnya anda akan berasa sedikit pening, mual dan najis yang dikeluarkan juga berwarna kehitaman.
Omega 3
Omega 3 pula sangat penting dalam penghasilan grey matter dan pembentukan neuron.
Sel neuron ini berfungsi sebagai penghubung dan penghantar maklumat daripada otak kepada sel saraf yang lain.
Antara sumber utama Omega 3 ialah minyak ikan. Oleh demikian, doktor sangat menyarankan agar ibu hamil dapat menambah makanan tambahan seperti minyak ikan semasa hamil. Ia sesuai diambil selepas kandungan berusia tujuh bulan. Ada yang mengatakan jika diambil terlalu awal dikhuatiri anak damit boleh menjadi hiperaktif.
Zat besi
Zat besi adalah nutrisi yang sangat penting semasa kehamilan. Ia adalah diperlukan untuk mengangkut oksigen ke seluruh bahagian tubuh anak damit termasuk otaknya. Kekurangan oksigen pada anak damit boleh memberikan kesan yang negatif kepada tahap pemikiran anak damit.
Kalsium
Pengambilan kalsium bukan sekadar penting untuk kesihatan tulang dan gigi anak damit tetapi juga otak. Kalsium memainkan peranan penting dalam penghantaran isyarat kepada sistem saraf terutama di bahagian otak.
Kadar kalsium yang mencukupi memang diperlukan untuk menjadikan otak berfungsi dengan baik di samping turut mengelakkan gangguan kepada sistem saraf.
Jadi anda kena pastikan diri sentiasa menjaga pemakanan dengan baik. Jika tidak, anda harus menambah suplemen kalsium.