Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKR buat laporan SPRM

    SIBU, 22 Jun – PKR Bahagian Kanowit, Lanang dan Sibu hari ini membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM50 juta oleh kerajaan persekutuan sebelum ini yang diluluskan untuk pembinaan Jalan Nanga Ngungun-Nanga Jagau di Kanowit sepanjang 22km.

    Peruntukan itu diumumkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa kempen pilihan raya negeri di Rumah Taboh, Skim Penempatan Rascom di Nanga Ngungun 27 Mac 2016.

    Setiausaha Bahagian PKR Kanowit George Chen berkata walaupun peruntukan itu telah diluluskan, pembinaan jalan itu masih belum bermula. Beliau berkata majlis pecah tanah pembinaan projek jalan itu telah dilakukan tiga kali iaitu pada 2012, 2014 dan 2016.

    Selain Najib, laporan itu turut dibuat terhadap Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Masing dan Anggota Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang, yang dakwa Chen telah membuat janji palsu dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi semasa pilihan raya. Penghuni dari 40 rumah panjang di kawasan itu terpaksa meneruskan menggunakan jalan balak untuk berulang alik ke bazar Kanowit kerana janji yang tidak dipenuhi.

    George Chen menunjukkan gambar bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengadakan lawatan di Rumah Taboh, Skim Penempatan Rascom di Nanga Ngungun pada 27 Mac 2016. – Bernama

    Beliau berkata semasa musim hujan, jalan balak itu tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan, menyebabkan kehidupan penduduk di kawasan itu semakin sukar.

    Ketiga-tiga Bahagian PKR itu telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Kanowit pada 6 Jun dan di Bahagian Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada 11 Jun.

    Turut hadir Pengerusi PKR Kanowit Thomas Laja Besi dan Pengerusi PKR Lanang Law Hin Ching. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda