SINGAPURA, 4 DIS – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong secara rasmi dipilih sebagai Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP ke-38 hari ini.
Wong menggantikan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, yang secara rasmi mengumumkan rancangannya untuk menyerahkan kepimpinan parti kepada penggantinya semasa Persidangan PAP baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Penolong Setiausaha Agung PAP, Chan Chun Sing menyatakan penghargaan CEC atas kepimpinan Setiausaha Agung yang akan berundur dan jasa baktinya kepada parti serta negara.
Lee, yang telah menyerahkan kepimpinan negara kepada Wong pada 15 Mei, kekal sebagai ahli CEC.
Sementara itu, pemegang jawatan lain, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli, masing-masing mengekalkan jawatan mereka sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi.
PAP juga memilih empat anggota tambahan menyertai CEC iaitu Desmond Choo, Lam Pin Min, Ng Chee Meng dan Sim Ann. – Bernama