Thursday, January 16, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Thai: Langkah lebih ketat bakal dilaksanakan

    BANGKOK, 31 MAC – Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha membayangkan langkah yang lebih ketat akan dilaksanakan untuk memerangi penularan COVID-19 di negara itu selepas jumlah kes positif meningkat kepada 1,651 hari ini dengan jumlah 10 kematian setakat ini.

    Sejak negara itu mengisytiharkan perintah darurat bermula 26 Mac lepas, Prayuth berkata bilangan kes baharu terus meningkat.

    Sehingga 1 tengah hari ini, 127 kes baharu dan satu kematian dilaporkan.

    “Jika tiada pengurangan, langkah yang lebih ketat mungkin akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Thailand mengisytiharkan perintah darurat yang berkuat kuasa tengah malam 26 Mac sehingga 30 April untuk mengekang pandemik COVID-19 di negara itu. Bagaimanapun tiada perintah berkurung atau larangan perjalanan dikenakan.

    Sementara itu, Prayuth berkata Kementerian Pengangkutan akan mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti awam.

    “Masih ramai yang melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan awam di Bangkok. Kami mungkin mempertimbangkan mengurangkan kekerapan pengangkutan awam termasuk bas dan kereta api. Jika itu tidak berjaya, jadi kami mungkin mempertimbangkan penggantungan sementara perkhidmatan tersebut,” katanya.

    Kerajaan merancang mengehadkan perjalanan orang awam kepada 90 peratus dalam usaha melandaikan graf jangkitan COVID-19. – Bernama

    Pemandu kenderaan berbaris di tempat pemeriksaan jalan raya tatkala pihak berkuasa mengawal orang daripada masuk dan keluar di selatan wilayah Pattani sebagai langkah membendung COVID-19 kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda