Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pochettino catat kekalahan pertama

    GUADALAJARA, 17 OKT – Mauricio Pochettino mencatat kekalahan pertamanya sebagai jurulatih Amerika Syarikat (AS) selepas pasukan bimbingannya tewas 2-0 kepada Mexico dalam perlawanan persahabatan, semalam.

    AS, yang sebelum ini tidak tewas dalam tujuh pertemuan menentang Mexico sejak 2019, akhirnya terpaksa akur apabila jaringan Raul Jimenez dan Cesar Huerta memecahkan rekod tanpa kalah itu.

    Pochettino, yang sebelum ini meraih kemenangan 2-0 ke atas Panama dalam perlawanan sulungnya Sabtu lalu, tidak dapat mengulangi kecemerlangan tersebut apabila pasukannya yang kehilangan beberapa pemain utama tewas di tempat lawan buat kali pertama dalam tempoh hampir setahun.

    Jurulatih dari Argentina itu menghadapi cabaran besar apabila beberapa tonggak utama seperti pemain tengah, Tyler Adams, serta penyerang Tim Weah dan Folarin Balogun, tidak dapat beraksi. Bintang sayap Christian Pulisic dan pemain tengah Juventus, Weston McKennie, turut kembali ke kelab masing-masing.

    Pemain pertahanan, Mark McKenzie, juga menarik diri pada saat akhir dengan Miles Robinson dari FC Cincinnati mengambil tempatnya dalam kesebelasan utama.

    Mexico pula menurunkan pemain tengah berusia 38 tahun, Andres Guardado, yang membuat penampilan terakhirnya untuk negara itu dengan rekod 182 penampilan.

    Guardado, yang ditawarkan tempat dalam staf kejurulatihan Javier Aguirre, dikeluarkan selepas 18 minit permainan dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton di Stadium Akron. – AFP

    Reaksi Pochettino sebelum perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Akron di Zapopan, negeri Jalisco, Mexico, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda