PUTRAJAYA, 1 JAN – Sebanyak 36 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk motosikal tiada cermin sisi, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, menerusi Operasi Ambang Tahun Baharu kelmarin.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Putrajaya, ASP Khairulrahman Rahmat, berkata operasi bermula kira-kira jam 11 malam kelmarin sehingga 3 pagi tadi di dua lokasi iaitu Persiaran Utara dan Jambatan Gemilang.
Beliau berkata sekatan jalan raya dilaksanakan selepas sambutan ambang tahun baharu bagi mengelak berlaku kesesakan trafik dan tumpuan sebaliknya diberikan kepada kawalan keselamatan di sekitar lokasi sambutan di Presint 3.
“Motosikal tiada cermin sisi, tiada lesen, nombor pendaftaran fancy dan tidak pamer pelekat ‘P’ merupakan kesalahan utama dikesan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sebanyak 85 kenderaan kebanyakannya motosikal dan 97 individu diperiksa sepanjang operasi itu. – Bernama