Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tahan lelaki tempatan, rampas syabu di Kunak

    KUNAK, 1 Feb – Polis Kunak menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 53.36 gram dadah dipercayai syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Idaman di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir berkata polis yang bertindak selepas menerima maklumat, menahan lelaki berusia 33 tahun yang tidak bekerja itu kira-kira pukul 6 petang.

    “Hasil soal siasat ke atas suspek membawa polis kepada penemuan dadah yang disimpan dalam bilik di tingkat satu rumah tersebut.

    “Suspek mengambil satu bungkusan plastik berwarna merah di atas almari kecil, lalu membuka bungkusan itu dan mengeluarkan satu kotak telefon bimbit bertulis ‘Kelaida’ berwarna putih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut Mohd Nasaruddin, di dalam kotak itu terdapat 70 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki Syabu yang dilipat dengan kertas aluminium setiap satu.

    Katanya, polis turut merampas wang tunai RM2,246 dan kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya (PH) 1988. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda