Monday, October 28, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Poomaan Jaya buka cawangan Kg Salar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Kumpulan Poomaan Jaya Enterprise telah memperluaskan rangkaian kedainya dengan pembukaan cawangan keempat di Kampung Salar pagi tadi.

    Perasmian pembukaan kedai berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi yang dilantik ke Negara Brunei Darussalam, Noureen Ahsan.

    Juga hadir ialah Pengarah Poomaan Jaya Enterpise, Haji Mohd Najmuddin bin Haji Mohd Maideen dan Pemangku Ketua Kampung Tanah Jambu dan Salar, Haji Sarabani bin Haji Bakir

    “Pembukaan cawangan ini adalah bukti komitmen kami bukan sahaja kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga pembangunan komuniti. Kami percaya dalam menyediakan lebih daripada sekadar produk dan perkhidmatan, kami ingin menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” kata Haji Mohd Najmuddin.

    Poomaan Jaya kini mengambil seramai 40 pekerja tempatan di cawangan baru ini dan mempunyai rancangan untuk meningkatkan lagi jumlah pekerja dengan memberi keutamaan kepada rakyat Brunei khususnya untuk golongan belia dan penduduk Kampung Salar serta kawasan sekitarnya.

    “Kami di sini untuk mewujudkan peluang yang mampan bagi anggota komuniti kami, untuk menyokong mereka dalam membina kerjaya dan memperoleh pengalaman yang akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka panjang,” tambahnya.

    Selain menyediakan pekerjaan, Poomaan Jaya telah berjanji untuk menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik di Kampung Salar dan komuniti Brunei yang lebih luas. Ini termasuk sumbangan barangan keperluan asas, sokongan pendidikan dan bantuan khas untuk keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi.

    “Kami fokus untuk menyokong kesejahteraan mereka yang paling memerlukan. Dengan bekerjasama dengan organisasi amal tempatan dan pemimpin komuniti, kami dapat memastikan sumbangan kami sampai kepada mereka yang akan mendapat manfaat yang paling,” kata Haji Najmuddin.

    Cawangan baru berkenaan menawarkan pelbagai produk berkualiti pada harga yang berpatutan menjadikan barangan asas lebih mudah diakses oleh penduduk setempat. Pengarah tersebut menyatakan harapan bahawa usaha syarikat akan membawa perubahan positif kepada komuniti, serta memupuk rasa percaya dan pertumbuhan bersama antara Pooman Jaya dan masyarakat.

    Semasa Poomaan Jaya terus berkembang, komitmennya terhadap sokongan komuniti dan tanggungjawab sosial tetap menjadi teras operasinya.

    Beliau turut mengimbau kembali bagaimana cawangan pertama dibuka di Kampung Kapok, manakala cawangan kedua di Kampung Tanjung Nangka, Kampung Manggis dan terbaharu di Kampung Salar.

    Dengan pembukaan awal cawangan baharu berkenaan hari ini, orang ramai tidak melepaskan peluang membanjiri pasar raya tersebut sejak pukul 9 pagi. Seorang penduduk Kampung Rimba, Awang Elias yang sempat ditemu bual berkata, dengan adanya pasar raya di kampung berkenaan, ia akan memudahkan mereka untuk berbelanja di samping menjimatkan masa.

    Sempena pembukaan kedai berkenaan, seramai 12 anak-anak yatim di Kampung Salar turut menerima sumbangan derma berupa barangan keperluan harian.

    Upacara pembukaan kedai berkenaan.
    Sesi gambar ramai bersama Noureen Ahsan, Haji Mohd Najmuddin serta ahli keluarga dan kakitangan.
    Antara penerima sumbangan sempena pembukaan kedai berkenaan.
    Noureen Ahsan melawat bahagian dalam kedai berkenaan diiringi Haji Mohd Najmuddin. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda