BEIJING, 17 JAN – China hari ini melaporkan jumlah penduduk menurun untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2024, selepas lebih enam dekad pertumbuhan, ketika negara itu menghadapi cabaran populasi yang semakin tua dan kadar kelahiran yang rendah secara berterusan.
Pernah menjadi negara dengan populasi terbesar di dunia, China telah diatasi oleh India pada 2023. Beijing kini berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran yang semakin menurun melalui subsidi dan propaganda pro-kesuburan.
Jumlah penduduk China pada akhir 2024 adalah 1.408 bilion, menurut Biro Statistik Kebangsaan Beijing, turun daripada 1.410 bilion pada 2023.
Penurunan itu kurang ketara berbanding tahun sebelumnya, yang mencatatkan pengurangan lebih dua kali ganda daripada penurunan yang dilaporkan pada 2022, menurut data.
China menamatkan ‘dasar satu anak’ pada 2016, yang diperkenalkan pada 1980an akibat kebimbangan terhadap lebihan penduduk dan membenarkan pasangan memiliki tiga anak pada 2021.
Ramai percaya kadar kelahiran yang rendah berpunca daripada kos sara hidup yang melambung tinggi, selain peningkatan jumlah wanita yang memasuki pasaran kerja dan melanjutkan pelajaran.
Data yang dikeluarkan hari ini menunjukkan populasi berusia 60 tahun ke atas mencecah 310.31 juta pada 2024, meningkat daripada hampir 297 juta pada 2023, iaitu hampir satu perempat jumlah keseluruhan penduduk negara itu. – AFP