NEW DELHI, 29 Jun – Seorang menteri Singapura percaya potensi ASEAN masih belum diterokai sepenuhnya dan blok serantau itu memainkan peranan penting untuk Asia muncul sebagai “pusat graviti ekonomi” dunia.
“Potensi ASEAN belum dapat direalisasikan sepenuhnya, meskipun secara relatifnya, mempunyai golongan belia, peningkatan penduduk kelas pertengahan dan kepesatan pembangunan,” kata Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat pada satu majlis di sini Khamis.
Sambil memuji kemajuan Asia Tenggara dalam integrasi ekonomi, Heng berkata perdagangan intra-serantau adalah bebas tarif sementara halangan bukan tarif telah dikurangkan.
“Di samping itu, peraturan perkhidmatan turut dilonggarkan dan peraturan pelaburan kini lebih pro-perniagaan, “katanya. Satu kajian oleh McKinsey Consulting meramalkan, taraf penggunaan ASEAN meningkat kepada 163 juta isi rumah menjelang 2030 dan memacu pertumbuhan permintaan barang serta perkhidmatan.
Heng berkata, kemunculan India dan China sebagai kuasa serantau menjadikan ASEAN penting untuk ekonomi Asia berkembang selain peranannya dalam perdagangan dunia. “Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara ASEAN serta enam rakan perdagangan utama India, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, akan menjadi “ejen perubahan.” – Bernama