Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPPBD anjur majlis khatam sempena puja usia

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke-78 anjuran Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah diadakan hari ini di ibu pejabat persatuan berkenaan di Kampung Anggerek Desa, Berakas.

    Majlis yang merupakan kegiatan tahunan persatuan itu antara lain bertujuan khusus bagi meraikan sambutan ulang tahun Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri, di samping memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan sekali gus mendidik ahli-ahli dari aspek kerohanian.

    Pada tahun ini, tiga kumpulan pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli majlis jawatankuasa tadbir, pemimpin-pemimpin dewasa, pemimpin-pemimpin muda, Pandu Puteri Ranjer dan Pandu Puteri telah menyelesaikan bacaan untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.

    Turut sama dalam Majlis Khatam Al-Quran ini ialah ahli-ahli persatuan yang terlibat dalam Projek Pencinta Kalam Allah yang telah melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran setiap seorang.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah, Doa sebelum membaca Al-Quran dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.

    Acara kemudian diikuti dengan bacaan takhtim oleh peserta-peserta khatam Al-Quran yang dipimpin oleh peserta-peserta pemimpin muda.

    Sementara itu, bacaan Doa Khatam Al-Quran dipimpin oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr Mariam binti Haji Abdul Rahman.

    Manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dipimpin oleh Hajah Fatimah.

    Turut hadir, Naib-naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali; dan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.

    Antara ahli-ahli PPPBD yang menyertai majlis khatam tersebut.- GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda