Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Chad terbunuh dalam pertempuran

    N’DJAMENA, CHAD, 20 APRIL – Presiden Chad Idriss Deby Itno, yang memerintah negara Afrika tengah selama lebih tiga dekad, meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialami di medan pertempuran semasa pertempuran dengan pemberontak, umum tentera di televisyen dan radio negara.

    Pengumuman mengejutkan itu keluar beberapa jam selepas pegawai pilihan raya mengisytiharkan Deby, 68, pemenang pilihan raya presiden pada 11 April, sekali gus membuka laluan kepada beliau untuk kekal berkuasa selama enam tahun lagi.

    Satu majlis peralihan 18 bulan akan dipimpin anak lelaki Deby berusia 37 tahun, Mahamat Idriss Deby Itno, kata tentera, serta juga mengenakan perintah berkurung bermula pada pukul 6 petang.

    “Ketika menghadapi situasi membimbangkan ini, rakyat Chad mesti menunjukkan semangat perpaduan, kestabilan, kerjasama dan keamanan,” kata Jeneral Azem Bermandoa Agouma.

    Keadaan yang menyelubungi kematian Deby tidak dapat disahkan disebabkan lokasi pertempuran yang terpencil.

    Tentera berkata Deby telah ‘memimpin operasi pertempuran ke atas pengganas yang datang dari Libya.’ Selepas mengalami kecederaan dalam pertempuran, beliau dibawa ke ibu negara, umum jeneral.

    “Kami masih tidak mempunyai kisah keseluruhan,” beritahu Laith Alkhouri, penasihat perisik global, kepada The Associated Press.

    “Ia menimbulkan isu berhubung penilaian anggota keselamatan tentang pertempuran dan risikan mereka mengenai keseriusan situasi.” – AP

    Gambar fail menunjukkan Presiden Idriss Deby Itno (kiri) bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron sebelum mesyuarat di Istana Elysee di Paris, Perancis. Debu terbunuh di medan pertempuran kelmarin, umum tentera di radio dan televisyen negara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda