Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Colombia disepina berkaitan siasatan rasuah

    BOGOTA, 4 DIS – Presiden Colombia, Gustavo Petro, dipanggil oleh Mahkamah Agung untuk memberikan keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap enam ahli kongres yang terlibat dalam skandal rasuah membabitkan Unit Kebangsaan Pengurusan Risiko Bencana (UNGRD).

    Menurut agensi Anadolu (AA), mahkamah meminta kenyataan bertulis daripada Petro sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan, lapor media tempatan kelmarin.

    Hakim Misael Rodriguez Castellanos dari Bahagian Siasatan Khas mahkamah mengeluarkan permintaan itu, dengan menyatakan ke-terangan Petro perlu dikemukakan dalam bentuk  afidavit bersumpah.

    Kes rasuah UNGRD mendominasi agenda politik Colombia selama beberapa bulan.

    Petro sebelum ini menyeru supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan, dengan meminta pihak pendakwa raya menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan pihak yang terlibat dalam skandal itu.

    Skandal rasuah itu timbul pada Februari 2024, apabila tuduhan dikenakan terhadap bekas pengarah UNGRD, Olmedo Lopez dan Sneyder Pinilla, atas penyelewengan dalam pembelian 40 lori tangki air. Kenderaan itu yang berharga 46.8 bilion peso (AS$10.4 juta), didakwa termasuk caj berlebihan melebihi 20 bilion peso (AS$4.47 juta). – Bernama

    Petro menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan COP16, di Cali, Colombia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda