Thursday, December 5, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Korea S hadapi desakan untuk letak jawatan

    SEOUL, 4 DIS – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menghadapi desakan untuk meletak jawatan hari ini selepas percubaannya yang singkat untuk melaksanakan undang-undang darurat tentera ditolak oleh parlimen, yang seterusnya mencetuskan ribuan protes di jalanan.

    Percubaan mengejut Presiden Yoon Suk Yeol untuk melaksanakan undang-undang darurat tentera, yang pertama dalam lebih empat dekad, mencetuskan krisis terbesar dalam sejarah demokrasi moden Korea Selatan. Langkah itu juga mengejutkan sekutu rapatnya di seluruh dunia.

    Amerika Syarikat, yang mempunyai hampir 30,000 anggota tentera di Korea Selatan untuk melindunginya daripada ancaman Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, pada awalnya menyuarakan kebimbangan mendalam tetapi kemudian lega apabila undang-undang darurat itu ditarik balik.

    Perkembangan dramatik itu meletakkan masa depan Yoon Suk Yeol, seorang ahli politik konservatif dan bekas pendakwa raya yang dilantik sebagai presiden pada 2022.

    Parti pembangkang utama Korea Selatan mendesak beliau segera meletak jawatan selepas undang-undang darurat tentera ditolak melalui undian dramatik.

    “Kami akan mengemukakan tuduhan pemberontakan,” terhadap Yoon, menteri pertahanan dan dalam negerinya serta “tokoh utama tentera dan polis yang terlibat, seperti komander undang-undang tentera dan ketua polis,” kata Parti Demokratik dalam satu kenyataan.

    Parti itu menambah bahawa mereka juga akan mendesak pemecatan.

    Manakala, pemimpin parti pemerintah Yoon menggambarkan percubaan tersebut sebagai tragik sambil menyeru agar mereka yang terlibat bertanggungjawab. – AFP

    Penunjuk perasaan memegang sepanduk semasa perhimpunan menggesa peletakan jawatan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol di Dataran Gwanghwamun di Seoul pada 4 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda