Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Xi mulakan lawatan tiga negara Eropah

    PARIS, 6 MEI – Presiden China, Xi Jinping memulakan lawatan tiga negara ke Eropah kelmarin dengan benua tersebut berpecah pendapat mengenai cara-cara menangani kuasa Beijing yang semakin meningkat dan persaingan Amerika Syarikat (AS) dan China.

    Pembuat kereta Eropah kini semakin kehilangan pengaruh kepada kenderaan elektrik buatan China yang bersubsidi. Sementara para diplomat bimbang mengenai dakwaan pengintip China yang berada di ibu negara Eropah.

    Dan perdagangan pertahanan China yang berterusan dengan Rusia membimbangkan sesiapa sahaja di Eropah yang menyokong Ukraine yang dilanda perang dan bimbang tentera Rusia tidak akan berhenti di sana.

    Namun, hubungan ekonomi antara Eropah dan China tetap kukuh dengan perdagangan harian yang dianggarkan bernilai 2.3 bilion euro dan Xi nampaknya berazam untuk membina semula dan memperkukuh hubungan dengan pemimpin Eropah selepas ketidakhadiran yang lama akibat pandemik COVID.

    Xi memulakan lawatannya kelmarin di Perancis, dengan presidennya mahu Eropah mempunyai lebih banyak kebebasan ekonomi strategik berbanding kuasa dunia lain.

    Presiden China seterusnya berkunjung ke Serbia dan Hungary, kedua-duanya dikenali sebagai negara mesra China dan menjalin hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. Kedua-dua negara tersebut juga penerima pelaburan besar China.

    Lawatan tersebut diawasi dengan teliti oleh Washington yang mencari tanda-tanda pengurangan sokongan Eropah terhadap matlamat dasar luarnya yang utama. Pada masa yang sama, ketidakpastian semakin meningkat di Eropah tentang sokongan AS pada masa hadapan untuk sekutu rentas-Atlantik.

    Di Perancis, Xi disambut oleh Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal, selain demonstrasi daripada kumpulan yang menuntut agar China menghormati hak minoriti Tibet dan Uyghur.

    Demonstrasi itu termasuk percubaan mengibarkan panji-panji di bawah Arc de Triomphe pada Sabtu, semasa ketibaan Xi. – AP

    Xi disambut oleh Attal di lapangan terbang Orly, selatan Paris pada 5 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda