NAIROBI – Walaupun pinggan seramik dan alat makan polikarbonat biasa digunakan di Kenya, produk buluh yang mesra alam dan terinspirasi dari Cina semakin banyak digunakan di rumah-rumah tempatan, dengan ramai rakyat Kenya terlibat dalam industri tersebut.
Organisasi Buluh dan Rotan Antarabangsa (INBAR) adalah badan antara kerajaan yang berpangkalan di Beijing dan didedikasikan untuk mempromosikan penggunaan buluh dan rotan untuk pembangunan mampan.
Apabila pakar INBAR datang ke Kenya untuk melatih petani tempatan tentang penggunaan buluh, Edmond Machoki adalah antara mereka dari Daerah Nyeri di tengah Kenya, yang segera merebut peluang dan mendapat manfaat daripada latihan tersebut.
Pengetahuan dan kemahiran baharu Machoki dalam buluh telah membolehkannya menghasil pelbagai barangan seperti pinggan, alat makan dan artifak lain, menjadikan hobi yang dimulakannya sebagai satu aktiviti yang menjana pendapatan.
Dengan kelulusan diploma dalam bioteknologi, Machoki mula bekerja dengan buluh lapan tahun yang lalu.
Beliau bekerja sebagai pegawai penyelidikan di Institut Penyelidikan Perhutanan Kenya selama dua tahun sebelum mendapat pekerjaan dengan sebuah syarikat swasta yang mengusahakan buluh.
Kepakaran Machoki dalam tumbuhan tersebut memainkan peranan penting dalam keputusan syarikat untuk merekrutnya.
“Dari situ, saya mula belajar lebih banyak tentang buluh melalui latihan di tempat kerja.
Dalam kebanyakan kes, kami dilatih oleh pihak China sama ada secara dalam talian atau mereka datang ke sini untuk melatih kami,” kata Machoki dalam satu temu bual baru-baru ini dengan Xinhua.
Baginya, rantaian nilai buluh adalah perniagaan yang menguntungkan dari peringkat anak benih hingga ke tahap ladang dan produk.
Kebanyakan teknologi yang digunakan di Kenya, katanya, berasal dari China, di mana buluh telah diintegrasikan ke dalam budaya selama bertahun-tahun.
“Orang Cina telah memainkan peranan yang sangat besar dalam industri buluh di negara ini dan di seluruh dunia, sebagai pengeksport buluh terbesar,” kata Machoki.
Hari ini, Machoki dan rakan-rakannya, termasuk Josphat Muthumbi, secara aktif menambah lebih banyak pinggan dan kutleri buluh ke dalam almari dan rak di seluruh Kenya.
Namun, berbeza dengan Machoki, Muthumbi tidak mempunyai pendidikan formal dalam pengendalian buluh tetapi mula terlibat dengan tumbuhan tersebut pada tahun 2002, didorong oleh minatnya.
Muthumbi pada asalnya bermula dengan membuat palung makanan ayam daripada buluh.
Dari semasa ke semasa, beliau mengasah kemahiran untuk menghasilkan pelbagai barangan, termasuk silinder simpanan syiling buluh, cawan, pemegang alat makan, peralatan makan buluh, batang memasak dan pisau.
Antara hasil buatan tangannya, cawan buluh menonjol sebagai yang paling menarik perhatian.
“Saya menyedari bahawa adalah mudah untuk membuat cawan daripada buluh kerana sifat berongga dan kemampuannya untuk menampung cecair di dalamnya,” kata Muthumbi.
Sejak itu, beliau telah menarik ramai pelanggan yang bangga menggunakan cawan mesra alam dan telah mendapatkan bahan mentah daripada petani buluh, menyediakan pasaran untuk ladang buluh mereka.
Di mata pelanggan mereka, Jacinta Njoki dan Solomon Gitau, penggunaan barangan kayu telah banyak membantu mengurangkan pencemaran dan memelihara alam sekitar.
“Penggunaan peralatan makan dan pinggan mangkuk kayu akan sangat membantu dalam pemuliharaan alam sekitar. Ia akan membantu memerangi masalah plastik, yang menjadi isu besar di Kenya dan banyak negara Afrika,” kata Njoki.
Gitau memuji penggunaan barangan buluh dan menggesa para tukang untuk menghasilkan lebih banyak kerana buluh kini mudah didapati.
“Saya dapati ia mudah dibersihkan: ia semula jadi dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Oleh itu, ia tidak mempunyai kesan sampingan yang diketahui apabila bersentuhan dengan panas,” kata Gitau.
Melangkah ke hadapan, Machoki dan Muthumbi berhasrat untuk menggantikan beberapa barangan tidak terbiodegradasikan dengan alternatif buluh.
“Awda boleh menggunakan teknologi untuk menukar sebatang buluh yang berongga menjadi termos, jag atau cawan, dengan cara itu kita boleh mengurangkan penggunaan plastik,” cadang Machoki.
Sebagai ketua organisasi komuniti Inter-County Self Help Group, Machoki bersama ahli lain telah menubuhkan tapak semaian anak benih buluh, di mana mereka menyemai dan menjual anak benih buluh.
Bagi menyebarkan kemahiran dan pengetahuan mengenai buluh kepada orang lain, Machoki memulakan projek untuk membantu petani lain menubuhkan ladang buluh dan memberi maklumat mengenai penggunaan buluh secara mampan.
“Buluh mempunyai kelebihan kerana ia matang lebih cepat dan boleh dituai secara mampan. Ini kerana kita tidak menebang buluh sepenuhnya semasa menuai, sebaliknya hanya menuai secara selektif, dan ladang masih kekal dengan kanopinya terpelihara,” kata Machoki sambil menambah bahawa buluh mempunyai banyak biomassa dari segi penjanaan semula.
Machoki juga menjelaskan bahawa buluh mempunyai rongga dan kanopi yang menyerap serta menyimpan air semasa hujan. Apabila musim kering tiba, air dilepaskan perlahan-lahan ke akar, menyumbang kepada peningkatan paras air bawah tanah.
Dari aspek ekonomi, tumbuhan yang cepat tumbuh ini berguna dalam pembuatan kayu.
“Ia boleh menghasilkan sehingga 1,500 produk yang telah dikaji, termasuk jubin lantai, perabot, dan bumbung,” tambah Machoki. – Xinhua