Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bincang isu-isu berbangkit

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Sua Muka, hari ini.

    Program yang bertumpu pada beberapa buah kampung di daerah itu iaitu Kampung Tagap dan Kampung Selayun, Mukim Sengkurong telah diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung Tagap dan Kampung Selayun, Haji Abdul Latif bin Haji Tengah.

    Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik ialah Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.

    Turut hadir, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dan Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Haji Abdullah Hanif bin Orang Kaya Maharaja Dinda Haji Saman.

    Program diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung mengenai penjimatan tenaga dari Jabatan Tenaga, JPM, dan penggunaan sistem meter baharu dari Unified Smart Metering System Sdn Bhd (USMS) serta kaedah agihan zakat dari Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal.

    Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang antara lain menekankan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

    Selain itu, ia juga sebagai salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Program Sua Muka turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, kesejahteraan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.

    Dayang Saadiatul Nur Aqilah semasa menyampaikan maklumat semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Sesi dialog antara penduduk kampung mengenai isu-isu berbangkit. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara yang hadir semasa Program Sua Muka di kediaman Haji Abdul Latif. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda