Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program bual bicara rangsang kreativiti belia

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 13 DIS – Ke arah memberikan ilmu berguna kepada golongan belia agar lebih kreatif dalam meningkatkan keupayaan diri, Program Cakap–Cakap Santai bersama Youtubers Belia Brunei anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersempena Sambutan Kempen Hari Bertindak sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2021, telah diadakan secara maya, petang tadi.

    Hadir menyaksikan program bual bicara tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan turut dihadiri oleh lebih 110 peserta.

    Semasa program tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merakamkan penghargaan kepada semua di akhir sesi, bahawa sememangnya program berkisar industri kreatif itu begitu menarik dengan adanya perkongsian ilmu dan pengetahuan mengenai persoalan pengalaman insan-insan bergelar Youtubers yang berjaya sehingga mampu menjana pendapatan.

    Jelasnya, dari sebuah jiwa penuh kesungguhan terhadap sesuatu bidang kepada sumber pendapatan, semangat itulah yang perlu ada dalam diri masyarakat tanah air kita. Apa yang dapat kita perhatikan juga, golongan belia pada masa kini lebih berjiwa kreatif, inovatif, memiliki pengetahuan dalam literasi teknologi serta lebih termotivasi dari semasa ke semasa berbanding dengan golongan belia yang berada dalam lingkungan generasi terdahulu.

    Yang Berhormat Dato turut mengutarakan bahawa sememangnya tiada masalah untuk golongan belia di negara ini untuk menceburi bidang sebegini lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan media sosial dalam kehidupan mereka.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyertai program bual bicara tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan KKBS

    “Saya percaya bahawa belia-belia negara kita mampu memiliki daya pemikiran yang lebih besar dalam segala aspek yang diceburi. Para belia Brunei perlu sentiasa bangkit bersatu dan terus maju menceburi apa sahaja platform media sosial dengan sebaik-baiknya.

    “Tiada perkara yang mustahil untuk kita bergerak lebih maju dan semestinya pihak kementerian akan terus mencari jalan terbaik untuk menyediakan ekosistem yang bersesuaian lebih-lebih lagi dalam usaha untuk melaksanakan cetusan idea yang berkaitan dengan Youtubers Convention pada masa akan datang,” ujarnya.

    Menerusi program dalam talian itu telah berjaya menampilkan tiga orang ahli panel Youtuber belia tempatan terdiri daripada Ibrahim Kamit, Fifi Reesha dan Fasting Bro di samping Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku moderator program. Selain itu, program turut diserikan dengan penampilan sebuah kumpulan Youtuber dari Malaysia iaitu RareTV yang sememangnya sudah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam meniti bakat mereka menerusi Youtube.

    Dalam pada itu, para peserta berkesempatan untuk menyaksikan perkongsian ilmu dan pengalaman para panel dan kumpulan jemputan meliputi cabaran dan usaha, daya kreativiti dan kejayaan, pendapatan dan kerjaya, hala tuju dan peluang sehingga menjadikan insan Youtubers yang berjaya dan dalam masa yang sama mampu menyumbang kepada kemajuan negara antaranya melalui sektor pelancongan, kapasiti modal insan, pendidikan dan sebagainya.

    Turut menyertai sesi perbincangan lebih menumpukan landasan bagi membuka minda belia-belia tanah air untuk berani menyahut cabaran dalam menerokai peluang-peluang khususnya menerusi platform media sosial dengan nilai-nilai positif itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari, termasuklah pegawai-pegawai kanan kerajaan, agensi swasta, para pemimpin belia dan belia-belia daripada persatuan-persatuan bukan kerajaan, badan-badan, institusi pengajian tinggi dan orang ramai.

    Program yang turut dijayakan dengan kerjasama Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong (BKKT) dan Kumpulan Pergerakan Belia Pusat Belia Tutong (IMPAK).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda