Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program HEBAQ galak budaya baca Al-Quran setiap hari

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BELAIT, 1 SEPT – Seramai 74 peserta yang terlibat dalam Program HEBAQ iaitu singkatan kepada Hari Emas Bersama Al-Quran telah menyertai Majlis Haflah Khatam Al-Quran HEBAQ kali ke-4 di Plaza Sutera Biru, Kuala Belait, hari ini.

    Majlis tersebut merupakan anjuran Halaqah Ilmu Surau Kampung Mumong, Kuala Belait, di bawah bimbingan Penasihat HEBAQ dan Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim.

    Program HEBAQ merupakan inisiatif dalam talian melalui kumpulan WhatsApp, di mana para peserta mengaji satu juzuk Al-Quran setiap hari dan melaporkan bacaan mereka sebelum jam 9 malam.

    Sejak ditubuhkan pada tahun 2020, kumpulan itu telah mencapai 50 pusingan pengajian, dengan setiap pusingan merangkumi 30 hari atau 30 juzuk Al-Quran, di mana setakat ini, seramai 138 peserta telah menyertai program berkenaan.

    Majlis Haflah Khatam Al-Quran kali ini turut diserikan dengan kehadiran isteri Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir sebagai jemputan khas adalah Muslimah Masjid Ar-Rayyan dari Tudan, Miri, Sarawak, serta ketua dan wakil persatuan wanita Daerah Belait, tenaga pengajar, dan pembimbing mengaji Al-Quran di Daerah Belait.

    Tujuan utama majlis itu adalah untuk memartabatkan kemuliaan khatam Al-Quran dalam kalangan pencinta Al-Quran dan peserta HEBAQ sebagai amalan soleh harian, menggalakkan budaya membaca Al-Quran setiap hari dengan komitmen tinggi, dan mengeratkan kerja berpasukan serta hubungan ukhuwah dalam kalangan ahli.

    Kebanyakan ahli jawatankuasa program itu terdiri daripada para pesara dan warga emas, yang bersemangat untuk menjadikan haflah itu sebagai inspirasi kepada muslimat untuk mengaji Al-Quran sebagai asbab hidayah, syifa dan reda Allah demi meraih rahmat dan syurgaNya.

    Hajah Noramalina bergambar ramai bersama para peserta yang hadir menyertai program berkenaan di Plaza Sutera Biru, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Hajah Zaliha semasa menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda