GAZA, 25 FEB – Program Makanan Sedunia (WFP) kelmarin mengumumkan bahawa pihaknya menggandakan penghantaran bantuan makanan ke Gaza susulan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor agensi berita Jerman, dpa.
“Kebuluran berjaya ditangani buat sementara waktu, walaupun keadaan masih tegang,” kata Ketua Pejabat WFP di Jerman, Martin Frick.
Menurut kenyataan WFP, organisasi itu menyalurkan lebih 30,000 tan makanan ke Semenanjung Gaza semenjak gencatan senjata bermula pada 19 Januari.
Purata penghantaran pada Julai hingga Disember 2024 adalah sekitar 12,500 tan sebulan.
“Gencatan senjata ini membolehkan kami menggandakan bantuan,” kata Frick.
Sejak perjanjian itu berkuat kuasa, WFP telah menyediakan makanan, hidangan panas dan roti segar kepada kira-kira sejuta penduduk Gaza. – Bernama
