Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Perantisan i-Ready bekalkan pengalaman, kemahiran

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Para pencari kerja yang ingin mendapatkan pengalaman dan kemahiran, dialu-alukan untuk mengikuti Program Perantisan i-Ready dikendalikan oleh Sekretariat Tetap Majlis Manpower Planning and Employment Council (MPEC) di bawah JobCentre Brunei (JCB).

    Program yang mula dilancarkan pada 2017 itu merupakan program selama 18 bulan yang membolehkan anak-anak tempatan yang mencari pekerjaan untuk memperoleh pengalaman dan kemahiran sebenar di mana ia dibukakan hanya kepada lepasan ijazah dan ke atas.

    Walau bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, program berkenaan telah diperluaskan kepada graduan HND dan TVET.

    Semua perantis i-Ready akan diberikan elaun yang dibiayai kerajaan sepanjang program.

    Selain itu, bagi perantis di sektor swasta, elaun tambah nilai juga akan disediakan oleh organisasi di tempat pekerjaan mereka bermula bulan ke-11 dan seterusnya.

    Program itu juga menawarkan banyak faedah kepada syarikat yang terlibat antaranya dapat mengenal pasti para pekerja yang berpotensi sehingga mampu menyumbang ke arah membina keupayaan tempatan.

    Salah sebuah syarikat yang menyokong program tersebut adalah Brunei Fertilizer Industries (BFI) yang menyatakan bahawa JobCentre Brunei telah memberi peluang kepada sebilangan besar graduan tempatan yang baharu untuk mencari pekerjaan dengan BFI di mana ia menawarkan peluang bagi mencari pekerja dengan berkesan, lebih-lebih lagi dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada JobCentre Brunei.

    Dalam pada itu, BFI merakamkan rasa gembira atas inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran golongan graduan tanah air dan bagi semua pencari kerja dan mereka juga berharap untuk terus bekerja dengan JobCentre Brunei pada masa hadapan.

    Sementara itu, UBD Corporations Sdn Bhd daripada industri penginapan turut mengungkapkan kesyukuran di mana pada masa ini tujuh perantis i-Ready telah mengikuti pekerjaan di bawah syarikat berkenaan dengan empat daripadanya telah mencapai bulan ke-14.

    Salah seorang anak tempatan yang kini telah mendapat pekerjaan dalam industri minyak dan gas selepas menamatkan Program Perantisan i-Ready turut berkongsi bahawa program berkenaan telah membantu dirinya menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja secara profesional dan mendedahkan dirinya dengan kemahiran yang diperlukan seperti disiplin kerja, cara menangani perbualan yang sukar serta kerja berpasukan.

    Seorang lagi bekas perantis i-Ready yang kini berjaya memperoleh pekerjaan dalam industri telekomunikasi selepas menamatkan program berkenaan dalam industri pembuatan, Awang Abdul Qawiy bin Abdul Razak menyatakan bahawa dalam situasi sekarang, terutamanya semasa pandemik ini, mencari pekerjaan tetap adalah sukar maka dengan program i-Ready, ia membolehkannya menimba pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk memulakan kerjaya saya.

    Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Program Perantisan i-Ready dan cara memohon, boleh menghantar e-mel menerusi iready.demand@jpm.gov.bn atau menghubungi talian hotline 8239933 pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 4:30 petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda