Saturday, October 5, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Sua Muka di Bukit Beruang

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Bukit Beruang dan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang Asal, Mukim Telisai, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Jalan Bukit Bincaloi, baru-baru ini.

    Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

    Turut hadir menyampaikan maklumat terkini ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tutong, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Cyber Security Brunei (CSB). Semasa acara, JPE dan Jabatan Perkhidmatan Air telah menyampaikan maklumat mengenai pembarigaan TID Rollover dan meter pintar (USMS) iaitu penggantian mandatori kepada sistem meter pintar (USMS) adalah percuma.

    Manakala CSB antara lain menyentuh perkongsian maklumat peribadi terperinci dalam talian yang boleh disalahgunakan oleh penjenayah siber, mengeksploitasinya dengan mudah untuk melakukan jenayah terancang.

    Untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan teknologi media sosial seperti buli siber dan penipuan dalam talian, scamming atau phishing serta ugut, para peserta didedahkan kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan jenayah siber dan penggunaannya di media sosial.

    Sesi bergambar ramai peserta Program Sua Muka. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara pegawai yang terlibat dalam program tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Program Sua Muka bagi Kampung Bukit Beruang dan Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Asal, Mukim Telisai, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Jalan Bukit Bincaloi. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Dalam mukadimah, Haji Fathi Foad menekankan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lainnya Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

    Program Sua Muka itu, jelas beliau, adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu komunikasi bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang Asal, Awang Moksin bin Haji Moktar dalam ucapan balas menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.

    Selain itu, sesi dialog juga memberikan peluang kepada penduduk-penduduk kampung untuk bertukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam, kata beliau.

    Program berkenaan turut diisikan dengan perkongsian maklumat daripada agensi-agensi kerajaan yang dijemput dan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan keselamatan, prasarana dan kemudahan awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda