BELAIT, 11 DIS – Dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan menerima maklum balas yang perlu diberi perhatian atau tindakan oleh agensi kerajaan berkaitan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Merangking, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait bertempat di Rumah Kediaman Pemangku Ketua Kampung Merangking, Mukim Bukit Sawat pada 25 November lalu.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Yang Mulia Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk kampung adalah pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian & Agrimakanan.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan termasuk Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Sementara itu, salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan, ketenteraman awam dan kemudahan awam serta hal-hal lain.
Semua di atas: Antara suasan sesi sua muka berkenaan.