Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Dengan hasrat untuk menanam semangat patriotik dan menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara dalam kalangan belia khususnya penuntut, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan Program Taklimat Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong, hari ini.
Taklimat yang mengetengahkan mengenai dengan raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci itu dihadiri oleh seramai 188 orang pelajar Tahun 7 termasuk Timbalan Pengetua Akademik Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Hajah Norinah binti Haji Mokkim, guru-guru, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Di majlis berkenaan, taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Nurakram bin Noraini @ Bahrin di mana beliau menjelaskan mengenai sejarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Semasa taklimat itu, para pelajar juga berpeluang untuk menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan bendera negara’ serta klip video aplikasi mudah alih InfoDeptBN.
Para pelajar juga berpeluang untuk menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan. Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan.
Program berkenaan merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme pelajar-pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara selain mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam kalangan golongan muda.