PARIS, 20 OKT — Paris Saint-Germain (PSG) kembali ke puncak Ligue 1 selepas menewaskan Strasbourg 4-2 di Parc des Princes awal pagi tadi, mengatasi Monaco berdasarkan perbezaan gol.
Pemain muda, Senny Mayulu membuka jaringan dengan gol pertamanya dalam Ligue 1, diikuti jaringan daripada Marco Asensio, Bradley Barcola dan Lee Kang-in yang membantu PSG meraih kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung semasa hujan lebat. Sekou Mara dan Pape Diong pula menjaringkan gol untuk Strasbourg, namun mereka masih belum mampu meraih kemenangan di laman PSG dalam 34 percubaan.
Monaco, yang hanya mencatat keputusan seri 0-0 menentang Lille pada Jumaat, memberikan peluang kepada PSG untuk merampas kembali tangga teratas, dan skuad kendalian Luis Enrique memanfaatkan peluang tersebut walaupun membuat perubahan dalam skuad menjelang pertembungan Liga Juara-juara menentang PSV Eindhoven pada Selasa.
“Saya fikir ia adalah sama untuk semua jurulatih yang kehilangan pemain semasa rehat antarabangsa,” kata Luis Enrique, di mana anak buahnya juga akan ke Marseille hujung minggu depan dalam perlawanan terbesar bola sepak Perancis.
“Perlawanan pertama selepas berehat antarabangsa sentiasa mencabar, tetapi kami mencapai matlamat kami, iaitu untuk mendapatkan tiga mata daripada lawan yang sukar, sambil memastikan pemain boleh pulih daripada perlawanan antarabangsa mereka,” tambahnya.
Ousmane Dembele, Achraf Hakimi, Fabian Ruiz, dan kapten Marquinhos merupakan antara pemain yang direhatkan, sementara Mayulu, 18, adalah salah seorang daripada lima pemain berusia 20 tahun ke bawah dalam kesebelasan utama PSG.
Mayulu memulakan jaringan pada minit ke-18 selepas gerakan satu-dua dengan Barcola, sebelum Asensio menjaringkan gol kedua PSG sejurus selepas separuh masa kedua bermula, memanfaatkan percubaan Desire Doue yang ditepis. Mara kemudian menjaringkan gol balas untuk Strasbourg, gol pertamanya sejak menyertai pasukan dari Southampton.
“Senny adalah pemain yang berpotensi besar dan mampu menjaringkan gol. Hari ini dia menjaringkan satu, tetapi dia boleh menjaringkan tiga. Dia adalah pemain masa depan untuk kelab,” kata Luis Enrique. – AFP
