Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG catat prestasi hambar

    PARIS, 24 OKT – Permulaan hambar Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-juara Eropah musim ini berterusan selepas terikat seri 1-1 dengan PSV Eindhoven, kelmarin, mendorong jurulatih Luis Enrique mengakui beliau ‘bimbang’ tentang prospek pasukannya.

    Juara Belanda itu mendahului di depan menerusi rembatan Noa Lang selepas setengah jam perlawanan di Parc des Princes tetapi Achraf Hakimi menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.

    Perlawanan itu sepatutnya dimenangi PSG berdasarkan beberapa peluang yang hadir tetapi sekali lagi mereka bergelut untuk menemui gawang, masalah sama dihadapi pada peringkat Eropah.

    “Sukar menerima keputusan selepas perlawanan seperti itu tetapi kami tahu ada kalanya bola sepak tidak adil. Kami beraksi lebih baik sepanjang perlawanan berbanding PSV,” kata pengurus PSG, Luis Enrique.

    Kekecewaan PSG semakin memuncak apabila mereka diberikan penalti pada masa kecederaan selepas kekasaran terhadap Marco Asensio, namun keputusan tersebut dibatalkan selepas semakan semula.

    Aksi Hakimi ketika meluru ke arah gawang pasukan lawan pada perlawanan tersebut di Stadium Parc des Princes di Paris, baru-baru ini. – AFP

    Gergasi Perancis itu membuat 26 percubaan berbanding PSV lapan. Mereka kini hanya menjaringkan dua gol pada lima aksi terakhir Liga Juara-juara Eropah dengan salah satunya gol sendiri ketika menentang Girona bulan lalu.

    Rekod buruk itu bermula pada separuh akhir musim lalu apabila mereka tewas 2-0 secara agregat kepada Borussia Dortmund.

    “Saya rasa jelasnya kami mencipta lebih banyak peluang berbanding lawan dan kami sepatutnya memenangi perlawanan ini,” tambah Luis Enrique.

    Selepas kemenangan tipis 1-0 menentang Girona dan kekalahan 2-0 kepada Arsenal dalam dua perlawanan pertama format baharu kejohanan itu, PSG hanya mengumpul empat mata daripada sembilan yang mungkin diperoleh.

    Masih ada lima perlawanan lagi, tetapi mereka akan berdepan Atletico Madrid di tempat sendiri diikuti Bayern Munich di tempat lawan, menunjukkan cabaran yang lebih sukar menanti.

    “Ini adalah jadual perlawanan yang paling mencabar, dan kami perlu bersedia untuk memperbaiki apa yang boleh dan terus berjuang. Tetapi ia sukar dan sudah tentu saya bimbang,” tambah jurulatih itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda