PARIS, 26 MEI – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, menyatakan bahawa beliau berasa bertuah dapat bekerjasama dengan Kylian Mbappe selepas pemain bintang itu beraksi untuk kelab tersebut pada perlawanan akhir Piala Perancis menentang Lyon, semalam dengan kemenangan 2-1.
Mbappe membuat penampilan perpisahan untuk PSG sebelum perpindahannya ke Real Madrid, meskipun dia gagal menambah rekod kelabnya sebanyak 256 gol.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Ousmane Dembele dan Fabian Ruiz yang berhasil menyumbangkan gol buat PSG.
Dembele dan Ruiz menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan PSG berjaya menahan percubaan Lyon untuk bangkit selepas rehat, dengan gol daripada Jake O’Brien yang mengurangkan defisit.
PSG kini telah memenangi trofi sebanyak 15 kali, termasuk tujuh kali dalam beberapa tahun yang lalu dan empat kali sejak Mbappe menyertai dari Monaco sebagai pemain remaja pada 2017.
Kemenangan itu membolehkan PSG melengkapkan kejayaan domestik dengan memenangi liga dan piala dalam musim pertama Luis Enrique sebagai jurulatih, walaupun kempen tersebut masih dibayangi oleh penyingkiran mereka dari Liga Juara-Juara pada peringkat separuh akhir menentang Borussia Dortmund.
“Kami bermain dengan sangat baik dalam perlawanan akhir. Kami bermain dengan intensiti tinggi dan menguasai bola dengan baik,” kata Luis Enrique.
“Saya rasa kami telah menjalani musim yang sangat baik. Kami ingin bertahan seminggu lagi dan tidak pergi bercuti lagi tetapi itulah kehidupan,” katanya, merujuk kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara hujung minggu depan.
“Tiada siapa yang mengatakan bola sepak itu adil, tetapi tidak mengapa. Musim depan kami akan kembali lebih kuat dan akan mencari pemain yang dahagakan kemenangan,” tambahnya.
Mengenai pemergian Mbappe, beliau menambah: “Saya rasa saya bertuah dapat melatih Kylian, tetapi ia adalah musim yang sukar baginya kerana selepas tujuh tahun dan segala pencapaiannya, ia sentiasa sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.” – AFP