PARIS, 28 OKT – Paris Saint-Germain (PSG) mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan pesaing utama mereka, Marseille, 3-0 di Stade Velodrome semalam, yang sekali gus meletakkan PSG tiga mata di puncak Ligue 1 selepas Monaco tewas buat kali pertama musim ini.
Dalam pertemuan pertama Classique musim ini, PSG sudah hampir mengesahkan kemenangan seawal separuh masa pertama dengan mendahului tiga gol, di mana Marseille kehilangan pemain tengah me-reka, Amine Harit, yang dilayangkan kad merah pada pertengahan babak pertama, sekali gus memberikan kelebihan besar kepada PSG.
“Kemenangan ini adalah hasil yang sangat positif,” kata ketua jurulatih PSG, Luis Enrique.
“Kemenangan sebegini di tempat lawan merupakan pencapaian yang besar dan kami dedikasikan kemenangan ini kepada para penyokong,” tambahnya.
Joao Neves membuka tirai jaringan untuk PSG pada awal permainan, diikuti dengan gol kedua apabila kapten Marseille, Leonardo Balerdi, secara tidak sengaja menyumbat gol ke gawang sendiri. Bradley Barcola kemudian menambah jaringan ketiga PSG, menjadikannya jaringan kelapan musim ini.
Jurulatih Marseille, Roberto De Zerbi, kecewa dengan kekalahan itu, terutama setelah pasukannya gagal mencatat kemenangan dalam 12 pertemuan berturut-turut menentang PSG di laman sendiri. – AFP
