SAN JUAN, 1 JAN – Sebahagian besar kawasan di Puerto Rico alami gangguan bekalan elektrik besar pada malam Tahun Baharu, dengan pihak utiliti elektrik pulau itu menyatakan proses pemulihan dijangka mengambil masa sehingga dua hari.
Luma Energy, syarikat yang menguruskan penghantaran kuasa di pulau itu, dalam kenyataan di media sosial memaklumkan bahawa ‘bekalan elektrik terputus’ di seluruh pulau itu bermula pada jam 5:30 pagi waktu tempatan, kelmarin.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan awal menunjukkan gangguan tersebut berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah, namun siasatan lanjut masih diteruskan.
Pengarah Hal Ehwal Luar Luma, Jose Perez, memberitahu AFP bahawa kerosakan itu telah mencetuskan ‘kesan domino’ yang membawa kepada bekalan elektrik terputus di seluruh pulau itu.
“Kami telah memulakan proses pemulihan untuk beberapa pelanggan, dan keseluruhan proses dijangka selesai dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” kata Luma.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, telah dimaklumkan mengenai gangguan itu, menurut Rumah Putih, yang turut menyatakan bahawa bantuan persekutuan sedia diberikan jika diperlukan bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Gabenor Puerto Rico, Pedro Pierluisi, menerusi hantaran di platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) berkata, “Ini adalah satu proses panjang dan mencabar yang memerlukan kerjasama pihak tempatan dan persekutuan.”
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau telah meminta Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk ‘terus mempermudah projek-projek yang telah dimulakan.’
Gangguan bekalan elektrik itu berlaku pada waktu yang kritikal, ketika pulau Caribbean itu memasuki musim kemuncak pelancongan dengan kedatangan ramai pelawat dari tanah besar AS yang sedang mengalami musim sejuk, dan hanya beberapa jam sebelum sambutan Tahun Baharu. – AFP