VALENCIA, 30 DIS – Puluhan ribu orang berhimpun di Valencia kelmarin bagi membantah tindak balas kerajaan dalam menangani bencana alam terburuk di Sepanyol, baru-baru ini.
Tragedi pada 29 Oktober lalu, mengorbankan 231 orang dan memusnahkan sebahagian besar wilayah timur Valencia, menyebabkan ribuan mangsa menghabiskan Krismas tanpa orang tersayang, rumah atau harta benda.
Menurut polis wilayah kelmarin, kira-kira 80,000 orang, sekali lagi mengecam pengendalian bencana alam paling dahsyat di Sepanyol dalam tempoh beberapa dekad.
“Selepas semua apa yang berlaku akibat banjir, tidak ada ahli politik yang meletak jawatan, tidak ada apa-apa tindakan dan mereka tidak melakukan apa-apa,” kata Enrique Soriano.
Sebahagian besar kemarahan orang ramai ditujukan kepada Ketua Wilayah Valencia, Carlos Mazon, di mana penunjuk perasaan menjerit ‘pembunuh’ dan ‘penjenayah’ serta membawa sepanduk bertulis ‘Mazon letak jawatan’.
Penduduk dari bandar Picana, Amparo Mateos berkata, Mazon tidak menjalankan tugasnya.
“Mereka yang tidak melakukan kerja perlu pergi ke jalanan. Terutamanya seorang penjawat awam”, katanya.
Kemarahan sangat memuncak di Valencia, apabila 223 daripada 231 mangsa yang terkorban adalah dari wilayah Valencia, manakala empat lain masih dilaporkan hilang.
Demonstrasi itu adalah yang ketiga terbesar di Valencia selepas protes pada 9 dan 30 November lalu, masing-masing menarik 130,000 dan 100,000 orang, menurut polis Valencia.
Kebanyakan kemarahan tertumpu kepada fakta bahawa penduduk menerima amaran telefon selepas air menenggelamkan rumah mereka, manakala beberapa majlis perbandaran tidak mendapat bantuan selama berhari-hari dan bergantung kepada sukarelawan untuk kerja menyelamat.
Kemarahan turut ditujukan kepada Raja Felipe dan Ratu Letizia Sepanyol, bersama Perdana Menteri Pedro Sanchez dan Mazon, ketika lawatan ke pusat bencana pada 3 November lalu.
Mangsa yang terselamat bertindak membaling delegasi dengan lumpur dalam imej yang mengejutkan negara itu. – AFP