NEW YORK, 1 JAN – Puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia mengharungi cuaca sejuk dan hujan lebat semalam bagi menyambut tahun baharu di Times Square, lokasi ikonik di New York.
“Saya benar-benar ingin merasai pengalaman ini di New York. Ini adalah peluang sekali seumur hidup,” kata Jennifer Lopez, yang berasal dari Republik Dominika tetapi kini menetap di Long Island.
Tradisi menyambut tahun baharu di Big Apple bermula sejak 1907, bertempat di Manhattan, di persimpangan Broadway dan Jalan 42. Lokasi itu terkenal kerana sentiasa diterangi papan tanda teater, dewan muzik, serta skrin pengiklanan digital bersaiz besar.
Acara berwarna-warni itu, yang berlangsung setiap 31 Disember, menarik ribuan penduduk tempatan, rakyat Amerika, serta pelancong dari seluruh dunia.
Elizabeth Anderson, seorang wanita Mexico berusia 32 tahun yang kini menetap di Australia, kembali ke New York untuk kali ketiga, tempat dia bertemu suaminya 11 tahun lalu.
“Sambutan malam tahun baharu di Times Square adalah antara perkara dalam senarai impian saya,” katanya kepada AFP.
Kemuncak malam tersebut adalah penurunan bola Times Square, sebuah sfera geodesik yang diterangi dan dihiasi kristal. Acara kiraan detik selama 60 saat itu menyaksikan bola tersebut diturunkan sepanjang tiang setinggi 20 meter.
Lampu bola dipadamkan seketika bagi memberi laluan kepada pertunjukan bunga api. Orang ramai bersorak riang, saling berpelukan dan mengucapkan selamat tahun baharu. – AFP