Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pupuk semangat cintakan pantai

    Oleh Lyna Mohamad
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Pantai adalah kawasan yang sensitif dan mudah terdedah kepada pelbagai ancaman seperti hakisan pantai dan pencemaran yang boleh mempunyai impak terhadap kesejahteraan kehidupan manusia, alam sekitar dan ekosistem.

    Pantai yang bersih setentunya menjadi fokus dan pilihan orang ramai untuk beriadah dan berkelah, dan pantai juga merupakan tempat tarikan kepada pemancing dan pengunjung yang ingin menikmati keindahan pantai dan pemandangan, terutamanya semasa matahari terbenam.

    Bagaimanapun, masih terdapat segelintir orang yang tidak memberi perhatian kepada kebersihan pantai dan membuang sampah merata termasuk ke laut, yang akhirnya juga hanyut ke pantai.

    Perkara berkenaan ditekan-kan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah semasa kempen pembersihan pantai di Pantai Muara, kelmarin, yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Alumni Kerjasama Teknikal Malaysia, dengan kerjasama Green Brunei.

    Tuan Yang Terutama juga menyatakan bahawa perbuatan berkenaan bukan sahaja mencemarkan pantai malah mempunyai kesan terhadap imej daerah, oleh itu beliau menyeru semua pihak termasuk mereka yang hadir semasa kempen itu untuk menanamkan semangat cintakan pantai dan memastikan kebersihannya.

    Beliau berkata, matlamat kempen kebersihan berkenaan adalah untuk mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, cantik dan selamat untuk kunjungan orang ramai serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

    Acara itu juga diadakan bersempena Bulan Kebangsaan di mana Hari Kebangsaan Malaysia akan diraikan pada 31 Ogos.

    Kempen berkenaan turut disertai oleh isteri Tuan Yang Terutama, Datin Roslina Ismail; Pengasas Bersama Green Brunei, Dayang Khairunnisa binti Ash’ari; Ketua Negara Petronas Carigali Brunei Ltd (PCBL), Mohd Johan Ariff Muhd Supian; Presiden Persatuan Kebajikan Melayu SeMalaysia (PKMS), Muhammad Ashraf Shukor dan Naib Presiden Persatuan Warganegara Malaysia (PWM), Jimmy Chung.

    Sejumlah 381.7kg sampah telah dikutip semasa kempen berkenaan yang diketuai oleh pesuruhjaya tinggi Malaysia dan disertai sama oleh pegawai dan kakitangan suruhanjaya, ahli-ahli Green Brunei dan sukarelawan.

    TYT Dato ‘Raja Reza turut sama-sama mengutip sampah semasa kempen itu.
    Antara yang terlibat dalam kempen membersihkan pantai di Pantai Muara, baru-baru ini.
    Warga Malaysia yang menyertai kempen itu mengibarkan bendera sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang akan diraikan pada 31 Ogos.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...