Saturday, November 23, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat ski tertutup Snozone pilihan popular

    MADRID – Di tengah cuaca panas dengan suhu mencecah 34 darjah Celsius, pengunjung di Snozone, sebuah pusat ski dalaman di pusat membeli-belah Xanadu, Madrid, tetap bersemangat untuk meluncur di atas salji buatan.

    Terletak 20 kilometer di selatan Madrid, Snozone menawarkan cerun ski sepanjang 250 meter yang dilitupi salji tiruan dan dibuka sepanjang tahun sejak 2003, dengan suhu dalamannya mencecah -3 darjah Celsius.

    Pengarah Snozone, Javier Villar, berkata pusat ini menarik kira-kira 200,000 pengunjung setiap tahun, dengan kemuncak musim dari Oktober hingga Mac.

    “Pengunjung terdiri daripada pemula yang ingin mempelajari asas ski hingga pasukan kompetitif dari Perancis, England, Sepanyol, dan Andorra yang berlatih di sini kerana ketiadaan salji di pergunungan,” katanya.

    Bayaran untuk dua jam sesi ski adalah sekitar 40 euro, menjadikan Snozone pilihan popular, walaupun kesan alam sekitar menjadi perhatian ramai.

    Gambar AFP
    Ahli-ahli muda ‘Ski Club de Carcassonne’ dari selatan Perancis bersiap sedia untuk sesi latihan di Snozone Xanadu. – AFP
    Seorang peluncur salji menikmati luncuran di Snozone Xanadu, satu-satunya cerun ski dalaman di Sepanyol, yang terletak di Arroyomolinos, selatan Madrid. – AFP
    Seorang pemain papan salji bersiap sedia untuk meluncur di Snozone Xanadu. – AFP
    Antara aksi salah seorang peluncur salji di Snozone Xanadu. – AFP
    Gambar AFP

    Thomas Barataud, jurulatih di pusat peranginan ski Les Angles di Pyrenees timur Perancis, mengakui bahawa walaupun tidak mesra alam, Snozone adalah alternatif yang baik untuk latihan berterusan.

    “Perubahan iklim menyukarkan latihan di glasier pada musim panas, tetapi di sini, salji keras dan cuaca sejuk sepanjang tahun memungkinkan latihan ski tanpa gangguan,” katanya.

    Cyrila Pena, pelajar berusia 18 tahun, yang kerap mengunjungi Snozone, berkata, “Bermain ski di dalam bangunan memang ‘menakjubkan’, tetapi ada rakan-rakan yang pelik melihat kami bermain ski di dalam.”

    Beliau menambah bahawa jika generasi terdahulu lebih menjaga alam sekitar, mungkin ski di glasier masih dapat dinikmati.

    Pusat itu juga berusaha mengurangkan jejak karbon dengan menggunakan panel solar, walaupun penggunaan elektrik yang tinggi untuk mengekalkan suhu rendah tetap menjadi cabaran utama.

    “Kami beroperasi sepanjang tahun kerana kos untuk menutup dan membuka semula pusat ini sangat tinggi,” tambah Villar.

    Snozone dimiliki oleh Capital & Regional, sebuah yayasan pelaburan hartanah runcit British, yang turut memiliki dua pusat ski dalaman di United Kingdom, iaitu di Milton Keynes dan Castleford.

    Sementara itu, cerun ski dalaman terbesar di dunia terletak di Ski Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

    Salah seorang pemain papan salji, Izan Romano yang berusia 20 tahun dari Madrid, kerap mengunjungi Snozone, berkata, “Musim panas atau musim sejuk, di sini sentiasa ada salji.

    “Ini adalah tempat saya melarikan diri dari panas dan menikmati salji.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda