PHNOM PENH, 18 Jun – Seorang putera kemboja yang menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang ini dipindahkan ke sebuah hospital di negara jiran Thailand awal hari ini, selepas cedera dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan isterinya, kata seorang ahli politik dan sebuah agensi berita Kemboja.
Putera Norodom Ranariddh, 74 berada dalam konvoi bersama anggota kanan parti FUNCINPEC yang menuju ke Sihanoukville di barat daya Kemboja pada pagi kelmarin ketika sebuah teksi yang bergerak dari arah bertentangan melanggar kereta SUV putera itu, menurut seorang anggota kanan dalam kumpulan itu.
Isteri Ranariddh, Ouk Phalla juga menjadi calon dalam pilihan raya umum Kemboja bulan depan.
Phalla, 39, terkorban di hospital selepas kemalangan itu dan Ranariddh mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke Phnom Penh untuk rawatan segera, kata ketua polis Sihanoukville, Jen Chuon Narin.
Ranariddh, pada asalnya dilaporkan cedera parah, mengalami tulang rusuk patah, seorang ahli politik yang dekat dengan situasi itu memberitahu The Associated Press.
Ahli politik yang tidak mahu namanya disiarkan itu berkata Ranariddh diterbangkan ke Bangkok pada 1 pagi hari ini untuk rawatan perubatan atas permintaan dari Istana Diraja negara. Raja Kemboja, Norodom Sihamoni adalah abang tiri Ranariddh.
Fresh News, sebuah agensi berita yang dekat dengan kerajaan, juga melaporkan bahawa Ranariddh telah dibawa ke Thailand.
Nhep Bun Chin, jurucakap FUNCINPEC, berkata keadaan Ranariddh telah bertambah baik, tetapi enggan mengesahkan pemindahannya ke Bangkok.
Penjagaan kesihatan di Kemboja mempunyai reputasi yang kurang baik dan pegawai kanan, termasuk Perdana Menteri Hun Sen, sering pergi ke luar negara untuk merawat masalah kesihatan yang serius. – AP