Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putera Mahkota Arab Saudi terima menghadap Presiden Ukraine, adakan perbincangan rasmi

    JEDDAH, 11 MAC – Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, mengadakan majlis sambutan rasmi untuk Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Istana Diraja, Istana Al-Salam di Jeddah.

    Agensi berita Arab Saudi (SPA) melaporkan yang Putera Mahkota dan Presiden Ukraine mengadakan sesi perbincangan rasmi.

    Putera Mahkota mengalu-alukan kedatangan Presiden Ukraine ke Arab Saudi, sementara Zelensky pula menyatakan rasa gembira dapat berkunjung ke negara itu dan bertemu dengan Putera Mahkota.

    Dalam sesi itu, kedua-dua pihak membincangkan aspek hubungan dua hala serta perkembangan terkini dan krisis yang berterusan di Ukraine.

    Putera Mahkota menegaskan komitmen Arab Saudi dalam menyokong semua usaha antarabangsa bagi menyelesaikan krisis itu dan mencapai keamanan.

    Sementara itu, Presiden Zelensky menyampaikan penghargaan terhadap usaha Arab Saudi serta mengetengahkan peranan penting negara itu di Timur Tengah dan di peringkat global.

    Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Gabenor Wilayah Mekah, Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz; Menteri Negara dan Ahli Kabinet, Putera Turki bin Mohammed bin Fahd bin Abdulaziz; Menteri Pengawal Kebangsaan, Putera Abdullah bin Bandar bin Abdulaziz; Menteri Pertahanan, Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz; Menteri Luar Negeri, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah; Menteri Negara, Ahli Kabinet dan Penasihat Keselamatan Negara, Dr Musaed bin Mohammed Al-Aiban; Menteri Perdagangan (menteri pengiring), Dr. Majid Al-Kassabi; Menteri Kewangan, Mohammed Aljadaan; serta Duta Arab Saudi ke Ukraine, Mohammed Al-Barakah.

    Sementara itu, delegasi Ukraine terdiri daripada Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak; Menteri Pertahanan, Rustem Umerov; Timbalan Perdana Menteri Pertama merangkap Menteri Ekonomi, Yulia Svyrydenko; Menteri Luar Negeri, Andrii Sybiha; Menteri Dasar Agraria dan Makanan, Vitalii Koval; Penasihat Presiden bagi Hal Ehwal Strategik, Alexander Kamyshin; serta Duta Ukraine ke Arab Saudi, Anatolii Petrenko. – Bernama

    Bendera Arab Saudi dan Ukraine berkibar di Jalan Raja Abdulaziz di bandar pelabuhan Laut Merah Saudi di Jeddah menjelang lawatan Presiden Ukraine pada 10 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda