Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar rancang ganda kapasiti solar menjelang 2030

    DOHA, 2 SEPT – Sebuah loji solar besar baharu yang dirancang dibina di Qatar akan menggandakan kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang diunjurkan sebelum ini oleh emiriah Teluk menjelang 2030, umum Menteri Tenaga Qatar, yang juga ketua eksekutif QatarEnergy milik kerajaan, Saad al-Kaabi, kelmarin.

    “Ladang fotovoltaik itu, yang akan dibina di kawasan Dukhan kira-kira 80 kilometer ke barat ibu negara Doha, akan meningkatkan kapasiti pengeluaran suria negara yang kaya dengan gas kepada empat gigawatt menjelang 2030,” kata Kaabi.

    “Loji itu yang akan dibina di kawasan Dukhan akan menghasilkan 2,000 megawatt, iaitu dua kali lebih banyak daripada kapasiti pengeluaran tenaga solar Qatar bagi projek semasa,” tambah menteri itu.

    Pada Oktober 2022, Qatar merasmikan ladang solar berskala besar pertamanya di al-Kharsaah, barat Doha. Negara itu turut mengumumkan pada Ogos tahun yang sama satu lagi projek solar dengan dua loji di Ras Laffan di utara.

    “Melalui projek gabungan itu, termasuk di Dukhan, Qatar akan mencapai 4,000 megawatt tenaga bersih menjelang 2030,” ujar Kaabi. “Ia akan membentuk 30 peratus daripada jumlah pengeluaran tenaga negara Qatar dengan pengurangan tahunan sebanyak 4.7 juta tan pelepasan karbon,” tambahnya.

    Kaabi berkata projek sedia ada harus menghasilkan 1.7 gigawatt tenaga pada suku pertama tahun depan, atau awal tahun depan.

    Menteri Tenaga itu juga mengumumkan rancangan untuk menggandakan pengeluaran urea Qatar, menjadikan negara itu pengeluar baja terbesar di dunia menjelang akhir dekad ini. – AFP

    Kaabi bercakap semasa sidang media pada 1 September di Doha. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda