WASHINGTON – Pergerakan tangan yang perlahan adalah permulaannya, kemudian disusuli dengan gegaran dan kini ketakutan yang menghantui tentang apa yang menanti pada masa hadapan.
Diagnosis Parkinson yang menjejaskan kehidupan David Jilbert tiga tahun lalu telah mengubah hidupnya secara total.
Ia adalah satu keadaan yang telah dipercayai oleh petani berusia 65 tahun itu tidak akan berlaku kepadanya jika bukan kerana paraquat, racun rumput (herba) yang pernah digunakannya untuk mengawal belukar di ladang anggurnya di negeri Ohio, Amerika Syarikat.
“Kini ini bukan lagi tentang saya seorang, saya adalah sebahagian daripada komuniti ini mari kita lakukan sesuatu,” kata Jilbert dalam satu perbicaraan baru-baru ini di Kongres AS, di mana beliau bersama yang lain mendakwa kaitan yang sama.
Diharamkan di lebih 70 negara termasuk Britain, tempat ia dihasilkan; Switzerland, negara kepada syarikat Syngenta yang memiliki jenama tersebut; dan China, tempat konglomerat milik kerajaan yang memiliki Syngenta berpusat – paraquat masih dijual di Amerika Syarikat.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) telah lama menyatakan bahawa racun herba itu selamat digunakan di bawah peraturan ketat sesuatu yang dibantah keras oleh penyokong Parkinson dan sedang ditekan untuk diubah.
Agensi tersebut dijangka mengeluarkan laporan akhir mengenai isu ini menjelang 17 Januari selepas mempertimbangkan 90 kajian saintifik baharu yang dikemukakan oleh Yayasan Michael J. Fox.
“Kami amat bersimpati kepada mereka yang menderita akibat kesan melemahkan penyakit Parkinson,” kata seorang jurucakap Syngenta dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Namun, adalah penting untuk menyatakan bahawa bukti saintifik tidak menyokong kaitan sebab-akibat antara paraquat dan penyakit Parkinson, dan paraquat selamat apabila digunakan mengikut arahan.”
Beberapa kajian yang boleh dipercayai telah mendapati bahawa pekerja pertanian yang mengendalikan paraquat atau tinggal berhampiran kawasan di mana ia digunakan menghadapi kejadian penyakit Parkinson yang lebih tinggi, yang akhirnya boleh menjadikan pergerakan paling mudah sekalipun menjadi cabaran besar.
Penyelidikan haiwan juga menegaskan kesan toksik paraquat terhadap sel saraf, walaupun membuktikan kaitan langsung bagi individu yang terkena Parkinson masih sukar.
“Saya mendapati amat mengecewakan bahawa syarikat kimia bersembunyi di sebalik konsep keupayaan menunjukkan sebab-akibat dan mereka menggunakan itu sebagai alasan,” kata pakar neurologi dari Australia, David Blacker, dalam satu wawancara dengan Pesticide Action UK.
“Itulah sebabnya prinsip berjaga-jaga diperlukan,” tambahnya. “Jika terdapat keraguan, terutamanya jika terdapat alternatif, maka pada pandangan saya, ia menjadi tidak beretika dan bahkan tidak bermoral untuk meneruskan.”
Jilbert, seorang jurutera alam sekitar dan pemeriksa keselamatan alam sekitar yang berpengalaman lama, pernah bercita-cita menjadi seorang petani selepas bersara.
Pada tahun 2011, beliau membeli tanahnya dan, sepanjang tahun-tahun berikutnya, mula menggunakan paraquat yang sering dijual sebagai Gramoxone untuk menguruskan belukarnya.
Menjelang akhir dekad itu, beliau menyedari tangannya bergerak perlahan dan gaya jalannya berubah menjadi terseret.
Apabila diagnosis Parkinson akhirnya dibuat, beliau merasa ngeri dan tertanya-tanya jika dirinya telah dijatuhi ‘hukuman mati’.
Keadaannya kini lebih terkawal, berkat ubat-ubatan, tetapi beliau berkata dirinya kecewa dengan kerajaan sendiri kerana tidak melindunginya.
“Awda fikir jika awda menggunakan bahan itu mengikut apa yang dilabelkan, maka saya tidak akan jatuh sakit,” katanya.
Seperti Jilbert, Charlene Tenbrink, 85 tahun yang memiliki ladang seluas 250 ekar di Dixon, California juga telah mempercayai bahawa bahan kimia yang tersedia untuk petani adalah selamat jika dikendalikan dengan betul.
Beliau menyembur paraquat pada pokok plumnya pada tahun 1990-an dan didiagnosis dengan Parkinson pada tahun 2020.
Tenbrink, Jilbert dan ribuan yang lain kini menyaman Syngenta di mahkamah persekutuan dan negeri California.
Sarah Doles, seorang peguam dan ketua bersama bagi litigasi persekutuan tersebut, membandingkannya dengan kes terhadap syarikat tembakau besar.
Beliau berpendapat Syngenta mempunyai kewajiban untuk mendedahkan bahaya yang diketahui tentang paraquat daripada penyelidikan sejak beberapa dekad lalu, tetapi disembunyikan daripada pengguna.
“Ia adalah tanggungjawab undang-undang terhadap apa yang mereka tahu dan kemudian gagal lakukan mereka menyembunyikan maklumat itu,” katanya kepada AFP.
Tanpa mengira keputusan EPA, kes-kes undang-undang ini akan berterusan.
Tenbrink berkata adalah penting untuk mengeluarkan produk itu dari pasaran dan mengakui dia takut akan masa depannya sendiri.
“Ini adalah penyakit yang teruk dan kami tahu tiada penawar, kami tahu ia akan menjadi lebih teruk. Ia menakutkan,” katanya. – AFP