Saturday, February 8, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Radio Brunei rai enam dekad penubuhannya

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Bahyiah Bakir

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Tanggal 2 Mei 2017 merupakan detik bersejarah bagi Perkhidmatan Radio Brunei apabila meraikan enam dekad penubuhannya, yang dimeriahkan dengan Majlis Sambutan Jubli Intan ke-60 Tahun yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini, hari ini.

    Perasmian sambutan berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri (Keselamatan dan Media) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar selaku tetamu kehormat majlis.

    Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis itu antara lain berkata, sejak 60 tahun lalu, perkhidmatan radio telah bergerak pantas dipelopori oleh barisan para pemimpin dan kumpulan perintis terdahulu dan ‘Unsung Heroes’ yang dengan penuh dedikasi menerajui dan melahirkan pelbagai inovasi, perubahan dan pembaharuan yang membawa perkhidmatan radio maju ke hadapan.

    Sesuai dengan peranannya selaku media penyebar maklumat kerajaan, RTB akan berterusan berusaha menggiatkan lagi peranan penyebaran dan penyiaran maklumat melalui kaedah-kaedah yang lebih berkesan dan terkini bagi membolehkan usaha kerajaan memperkenalkan sesuatu dasar akan dapat diterima, difahami dan disokong oleh rakyat dan penduduk khususnya generasi belia.

    Dengan itu, tambahnya, RTB menyedari akan perlunya merencana, mengambil langkah-langkah strategik serta menggiatkan peranan ke arah mewujudkan suasana penyiaran awam yang lebih mapan, berdaya saing dan berdaya maju yang dapat memberikan impak yang positif dan berguna kepada masyarakat dan negara.

    Dato Paduka Haji Hamdan bersama pegawai-pegawai kanan dan bekas pengarah RTB, penyampai radio serta kakitangan bergambar ramai pada majlis berkenaan.
    Dato Paduka Haji Hamdan bersama pegawai-pegawai kanan dan bekas pengarah RTB, penyampai radio serta kakitangan bergambar ramai pada majlis berkenaan.
    Tetamu kehormat ketika merasmikan ulang tahun ke-60 Radio Brunei.
    Tetamu kehormat ketika merasmikan ulang tahun ke-60 Radio Brunei.
    Dato Paduka Haji Hamdan bersama para pegawai kanan ketika melawat petak pameran.
    Dato Paduka Haji Hamdan bersama para pegawai kanan ketika melawat petak pameran.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama penyampai-penyampai radio.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama penyampai-penyampai radio.

    Dalam ucapannya itu, beliau menyentuh mengenai hasil penyelidikan dan kajian audiens yang dijalankan pada 7 November hingga 20 Disember 2016 lalu, yang mendapati sejumlah 85 peratus rakyat Brunei di negara ini mengikuti siaran radio RTB berbanding dengan jumlah 71 peratus pada tahun 2015.

    “Ini setentunya menjadi sukat-sukat atau indicator bagi RTB untuk melaksanakan program-program pembaikan secara berterusan ke arah membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan melalui aktiviti-aktiviti seperti menambahbaikkan lagi kandungan dan mutu persembahan perisian tempatan.

    “Antaranya dengan mengadaptasi pendekatan pendengar mudah (easy listening) dengan berterusan memperbaiki tatacara penyampaian yang ringkas, tepat, padat, menarik dan kreatif dalam hasrat untuk memaut hati pendengar setia perkhidmatan radio,” tambahnya.

    Selain itu dengan mengoptimumkan teknologi terkini khususnya media baru sebagai cara untuk mendekati masyarakat terutama generasi muda.

    Ini, jelasnya lagi, dengan mewujudkan Unit Promo dan Media Baru sebagai salah satu pendekatan untuk memperluaskan lagi jaringan hubungan yang lebih mesra bersama masyarakat serta mewujudkan warga radio yang proaktif, kreatif dan inovatif.

    “Ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035, Radio Brunei juga mengatur langkah-langkah dan mengemas kini perisian Radio ke arah menjayakan strategi-strategi wawasan misalnya melalui rancangan 2035, Aspirasi Belia dan Laila Hasrat di rangkaian Nasional FM termasuk menyiarkan secara langsung acara-acara kenegaraan,” ujar Pengarah RTB lagi.

    Kesimpulannya, ujar beliau, RTB sangat memerlukan masyarakat untuk terus menyokong perkembangan dan kebertahanan perkhidmatan radio agar terus menyumbang kepada pembentukan citra bangsa dan negara yang maju.

    Antara mereka yang hadir pada Sambutan Jubli Intan Radio Brunei.
    Antara mereka yang hadir pada Sambutan Jubli Intan Radio Brunei.
    Antara persembahan pentas yang memeriahkan lagi majlis berkenaan.
    Antara persembahan pentas yang memeriahkan lagi majlis berkenaan.
    Antara penyampai radio rangkaian Harmoni FM bergambar ramai.
    Antara penyampai radio rangkaian Harmoni FM bergambar ramai.
    Antara penyampai radio rangkaian Pelangi FM bergambar ramai.
    Antara penyampai radio rangkaian Pelangi FM bergambar ramai.

    Sempena Jubli Intan 60 Tahun Radio Brunei, perkhidmatan radio juga mengadakan hari terbuka yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 7 Mei 2017 yang mengetengahkan beberapa pengisian seperti pameran-pameran, pentas interaktif, mock studio @ vocal Booth Studio di Studio Al-Ansar dan pentas persembahan di Studio Bil-Huda.

    Majlis perasmian sambutan berkenaan turut diserikan lagi dengan persembahan sketsa Bujang Si Gandam, salah sebuah rancangan yang cukup popular dan sinonim dengan Radio Brunei pada tahun 60-an dan 70-an.

    Tetamu kehormat juga menandatangani Plak Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Radio Brunei dan seterusnya menyaksikan Pameran 6 Dekad Radio Brunei di Studio A yang kini dikenali sebagai Studio Al-Ansar dan Studio B yang kini dinamakan dengan Studio Bil-Huda RTB.

    Menurut kenyataan RTB, Pameran 6 Dekad Radio Brunei, yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai, memuatkan perkembangan dan pencapaian lima rangkaian dan tiga unit radio setelah 60 tahun ditubuhkan, di samping pelbagai kegiatan interaktif bersama pengunjung.

    Turut serta dalam pameran berkenaan termasuk Bahagian Kejuruteraan Radio, Bahagian Berita, Seksyen Perdagangan Bahagian Latihan dan Perkembangan, Unit Penyelidikan RTB, Kelab Radio dan Tunas Radio.

    Mengimbau kembali sejarah Radio Brunei, sejak penubuhannya yang dulu hanya mempunyai satu rangkaian, kini telah banyak memainkan peranan yang amat penting dalam memeduli dan mengenal pasti keperluan sasaran pendengarnya menerusi penerbitan beberapa rancangan yang dikendalikan oleh kelima-lima rangkaian iaitu Nasional FM, Pilihan FM, Harmoni FM, Pelangi FM dan Nur Islam.

    Perkhidmatan Radio Brunei telah ditubuhkan pada 2 Mei 1957 dan dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien iaitu bertepatan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Pada ketika itu, perkhidmatannya hanya dapat didengar selama dua jam 45 minit setiap hari iaitu selama sejam setengah dalam Bahasa Melayu dan 45 minit dalam Bahasa Inggeris.

    Dalam tahun 1958 siaran radio bertambah menjadi kepada tiga bahasa apabila Bahasa Tionghua dimulakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda