BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Hotel Radisson Brunei Darussalam hari ini melahirkan sokongan kepada petugas barisan hadapan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam bentuk sumbangan pek makanan dan barangan penting di tengah-tengah usaha murni pasukan perubatan menangani pandemik COVID-19 di negara ini.
Sumbangan barangan penting termasuklah cadar, sarung bantal, tuala mandi, syampu, perapi rambut dan gel mandian.
Pengarah Jualan dan Pasaran Hotel Radisson, Paula Munoz menyatakan adalah penting untuk bersatu padu dan memberikan sokongan dalam bentuk apa sahaja bagi membantu mereka yang berada di barisan hadapan.
Menurutnya lagi, hotel tersebut turut melaksanakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premisnya, termasuk menyediakan gel pembasmi kuman di lobi dan kawasan awam serta pemeriksaan suhu badan di pintu hotel, sebagai komitmen mereka membantu kerajaan Brunei memerangi pandemik koronavirus ini.