Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Untuk meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran dengan membanyakkan pembacaan Al-Quran terutamanya dalam bulan Ramadan ini, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Kira-kira 80 orang ahli PGGMB menyertai majlis khatam berkenaan yang turut diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian derma di majlis berkenaan ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Yussof bin Haji Awang Mohamad.
Pada majlis itu, seramai 19 orang anak-anak ahli PGGMB menerima sumbangan anak yatim yang bertujuan untuk membantu meringankan bebanan perbelanjaan menjelang Hari Raya Aidilfitri di samping menyemarakkan bulan Ramadan.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kebajikan suka dan duka kepada 23 orang ahli PGGMB. Setiap ahli berhak menerima derma kebajikan kerana kematian ahli-ahli keluarga, perkahwinan dan menunaikan ibadat haji.
Majlis keagamaan dan kebajikan itu bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dan memeduli kebajikan ahli-ahli PGGMB dan keluarga mereka dalam pelbagai bantuan dan sokongan, selaras dengan wawasan persekutuan untuk meningkatkan kesejahteraan ahli-ahli dan memberi keutamaan terhadap kebajikan serta kepentingan ahli-ahlinya.