Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih keberkatan Ramadan melalui huluran sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan, Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani, Ak Zaki Kasharan dan Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Pelbagai pihak di negara ini terus berebut-rebut meraih keberkatan dan melipatgandakan amalan di bulan Ramadan ini dengan membantu golongan yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

    Perniagaan-perniagaan seperti Pasar Raya TM Majeed dan Pasar Raya Orbit Sdn Bhd adalah antara yang giat mengadakan aktiviti amal menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, hari ini.

    Seramai 80 orang anak yatim, ibu tunggal dan orang yang kurang berkemampuan dari Kampung Kilanas, Jangsak dan Bebatik Kilanas telah menerima sumbangan daripada Pasar Raya TM Majeed pada majlis yang berlangsung di pasar raya berkenaan di Kampung Kilanas.

    Penyerahan sumbangan sempena Hari Raya berupa barangan keperluan asasi berjumlah $65 itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan TM Majeed, Ferose Khan.

    Turut menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohamed Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid.

    Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kg Jerudong A dan B.
    Ramesh Jiwatram Bhawnani dan isteri menyampaikan Syarikat YMRM kepada salah seorang penerima sumbangan.
    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Kg Jaya Bakti Setia dan Burung Pingai.

    Antara penderma yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima di Kg Jaya Bakti Setia dan Burung Pingai.
    Antara penerima sumbangan Program Ziarah Kaseh Sentuhan Ramadan di MPK RPN Panchor, Mengkubau kawasan 4 & 5.
    Haji Hairul Azri menerima sumbangan daripada penyumbang Program Ziarah Kaseh Sentuhan Ramadan di MPK RPN Panchor, Mengkubau kawasan 4 & 5.
    Penyerahan bantuan kepada keluarga di Jalan Santol, Kampung Luagan Duduk, Daerah Tutong.
    Pihak Pasar Raya Orbit Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
    Syarikat Kumpulan Teeyem (T.M Majed) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan.
    Keluarga Haji Masri menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Kpg Luagan Duduk, Daerah Tutong.

    Sementara itu, Pasar Raya Orbit Sdn Bhd menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan untuk persiapan hari raya kepada 75 orang penerima di sekitar Kampung Salambigar dan Kampung Lambak Kanan.

    Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pengarah Urusan, Anwar Ali Mohamed Yussuf dan Ketua Kampung Salambigar dan Sungai Hanching, Haji Abdul Rahman bin Safar.

    Anwar Ali Mohamed Yussuf berkata, para penerima terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim dan golongan berkeperluan khas yang dipilih oleh ketua Kampung Salambigar dan Kampung Lambak Kanan.

    Beberapa orang penerima ketika ditemu bual meluahkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan oleh Pasar Raya Orbit Sdn Bhd.

    Turut mengadakan majlis seumpamanya adalah majlis-majlis perundingan kampung (MPK) dan masjid di seluruh negara yang menyampaikan sumbangan kepada penerima di bawah tadahan masing-masing.

    Seramai 58 orang anak yatim dan 61 orang golongan kurang berkemampuan dari Kampung Jerudong A dan Jerudong B menerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Derma dan Berbuka Puasa di Masjid Al Ameerah Al Hajah Maryam, Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Majlis Perundingan Kampung Jerudong A (MPKJA), Majlis Perundingan Kampung Jerudong B (MPKJB), Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN) dan Kumpulan Syarikat YMRM dengan kerjasama Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abd Aziz selaku Penasihat MPKJA.

    Hadir dan ikut serta menyampaikan derma ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri; Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat YMRM, Ramesh Jiwatram Bhawnani berserta isteri; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat YMRM, Hitesh Ramesh Bhawnani dan Pengarah Perhubungan Awam Kumpulan YMRM Group, Abdul Hamid Abas.

    Ia merupakan acara keempat yang ditaja oleh Kumpulan Syarikat YMRM sepanjang bulan Ramadhan tahun ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat dan akan diteruskan lagi di Daerah Belait pada 15 April.

    Dalam pada itu, kelmarin, seramai 89 orang penerima Tabung Khairat dan 31 orang anak yatim Kampung Jaya Bakti Setia dan Burung Pingai Berakas menerima sumbangan pada majlis anjuran Masjid Kampung Burung Pingai Berakas.

    Hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murad dan Imam Razak bin Samat.

    Sumbangan kepada anak-anak yatim pula disampaikan oleh Imam Haji Mohd Zahid bin Haji Mohd Zain bersama beberapa orang penderma.

    Orang-orang persendirian juga tidak terlepas merebut peluang melipatgandakan amal ibadat di bulan Ramadan yang Mubarak ini, seperti yang dilaksanakan oleh sebuah keluarga, Haji Masri dan isteri, Hajah Nani Suziana.

    Sebuah keluarga yang kurang berkemampuan telah menerima bantuan berupa makanan asasi serta keperluan harian lainnya seperti pakaian dan wang tunai daripada keluarga Haji Masri.

    Keluarga seramai 11 orang yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan sembilan orang anak yang masih di bawah umur itu menetap di Jalan Santol Kampung Luagan Duduk, Daerah Tutong.

    Turut hadir semasa penyampaian bantuan tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Luagan Duduk dan Bukit Panggal, Haji Mohd Khairulrani bin Abdullah.

    Sementara itu, baru-baru ini, MPK RPN Panchor, Mengkubau kawasan 4 & 5 telah menerima sumbangan berbentuk barang asasi bagi Program Ziarah Kaseh Sentuhan Ramadan yang telah diterima oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 4 & 5, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat.

    Ia merupakan program berterusan di bulan Ramadan yang akan mengagihkan barang-barang asasi yang disumbangkan kepada beberapa keluarga terpilih.

    Haji Hairul Azri mengongsikan, kebanyakan barang sumbangan adalah daripada penduduk kampung yang sentiasa memeduli keluarga yang memerlukan terutama keluarga anak-anak yatim.

    Penyerahan sumbangan berkenaan dijangka diadakan pada 16 April depan yang dikendalikan oleh Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan untuk diserahkan kepada lebih 30 keluarga terpilih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda