Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Arab Saudi diberi sambutan di Dataran Parlimen

    KUALA LUMPUR, 26 Feb – Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang tiba untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, hari ini.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Raja Salman, yang melakukan lawatan sulungnya ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai 30 juta penduduk, pada 11:50 pagi.

    Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

    Upacara sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

    Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharum. Malaysia adalah negara pertama yang dikunjungi Raja Salman dalam rangka lawatan baginda ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015.

    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan bersalaman dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika istiadat sambutan rasmi di Dataran Parlimen kelmarin. – Bernama
    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan bersalaman dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika istiadat sambutan rasmi di Dataran Parlimen kelmarin. – Bernama

    Baginda akan diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan hingga 1 Mac itu, termasuk anggota kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi.

    Lebih 100 kenderaan disediakan bagi membawa anggota rombongan diraja itu. Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

    Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada taklimat media terbarunya mengenai lawatan itu menyifatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi adalah kukuh.

    Lawatan negara terakhir Raja Arab Saudi ke Malaysia ialah pada 2006 oleh Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud. Almarhum Raja Faisal bin Abdulaziz Al Saud juga pernah mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 1970. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda