Keputusan pelakon Ijoy berkahwin dengan penyampai radio Sharifah Shahirah yang ketika itu merupakan seorang ibu tunggal mengundang kata-kata negatif kononnya perkahwinan mereka itu tidak akan bertahan lama.
Shahirah atau mesra disapa Shiera, 51, bagaimanapun tidak mempedulikan pandangan dilemparkan orang ramai itu, sebaliknya bersyukur perkahwinan itu masih bertahan dan mereka kini bahagia bersama empat orang cahaya mata, menurut laporan mStar.
“Masa mula-mula kami kahwin pun ada orang cakap yang hubungan kami tak akan lama (bertahan).
“Ada ramai juga mempersoalkan kenapa Ijoy kahwin dengan saya? Tak cantik, janda anak satu. Tapi saya tak ambil peduli pun, Alhamdulillah dah ada empat orang anak dengan Ijoy,” katanya.
Shahirah berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual podcast Borak Selebriti Sinar yang dimuat naik di YouTube baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shiera memberitahu bapanya iaitu Allahyarham Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman turut pernah mempersoalkan hubungannya dengan Ijoy.
Ini kerana bapanya bimbang sekiranya hubungan mereka tidak mendapat persetujuan daripada ibu Ijoy iaitu pelakon Datin Maria Arshad.
“Sebelum itu ayah saya tanya Ijoi nak ke dengan saya? Sebab saya akan janda anak satu, Ijoy pula satu-satunya anak lelaki Maria Arshad.
“Takkanlah mak (Maria) Ijoy nak bagi kahwin dengan janda anak satu. Tapi mungkin sebab sayang, mak dia dengar juga cakap anaknya itu,” ujarnya.
Bercerita tentang perkenalannya dengan Ijoy, Shiera memberitahu sebelum bergelar selebriti dia sudah meminati aktor berkenaan yang mula berlakon sejak berusia 15 tahun.
Kongsi Shiera, dia pernah menyimpan keratan foto Ijoy dari akhbar.
“Sebelum itu saya tak pernah jumpa dia (Ijoy) tapi dia comel dan kacak, rasa macam sempurna sangat.
“Dia mula berlakon pada usia 15 tahun, saya rasa dia comel sebab hidung pun mancung. Tapi waktu itu saya pun sudah ada teman lelaki.
“Waktu itu saya pun ada tampal gambar dia dekat dinding dan meja belajar. Dulu kan beli surat khabar, lepas tu saya potong gambar dia,” ujarnya.
Untuk rekod, Shiera mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ijoy pada 2003. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Airel, 21, Airra, 18, Audra, 16, dan Adeena, 9 tahun.
Sebelum itu, Shiera pernah berkahwin dengan penyanyi Jatt Ali dan mempunyai seorang anak bernama Tallisya yang kini berusia 27 tahun. – Agensi
