Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rapid KL bakal kendali bas awam di Kuching

    KUCHING, 31 Jan – Operator pengangkutan awam Rapid KL dijangka mengendalikan pengangkutan bas awam di bandar raya ini tidak lama lagi.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau difahamkan syarikat itu telah menyatakan persetujuan berbuat demikian selepas dipelawa oleh kerajaan negeri.

    “Kerajaan negeri telah menjemput Rapid KL untuk mengendalikan perkhidmatan bas awamnya di bandar raya Kuching dan pada dasarnya syarikat berkenaan sudah bersetuju dan hanya tunggu masanya sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata usaha itu bagi mengurangkan masalah kesesakan di bandar raya tersebut.

    Terdahulu Fadillah meninjau pembinaan persimpangan bertingkat di Bulatan Datuk Temenggong Abang Kapali Abang Akip di Jalan Petra Jaya di sini.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof melihat pelan kemajuan projek pembinaan ‘intercharge’ di Bulatan Datuk Temenggung Abang Kipli Bin Abang Akip ketika melawat projek tersebut bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku akibat kesan projek tersebut hari ini. – Bernama
    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof melihat pelan kemajuan projek pembinaan ‘intercharge’ di Bulatan Datuk Temenggung Abang Kipli Bin Abang Akip ketika melawat projek tersebut bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku akibat kesan projek tersebut hari ini. – Bernama

    Projek itu dijadual siap pada 25 Nov tahun ini dan dijangka dapat mengurangkan sedikit kesesakan lalu lintas di Petra Jaya dan pusat bandar, katanya.

    Mengenai masalah banjir kilat di kawasan projek, Fadillah berkata sebuah jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan membabitkan Jabatan Kerja Raya, Jabatan

    Pengairan dan Saliran serta Dewan Bandaraya Kucing Selatan bagi mencari penyelesaian.

    “Perbincangan juga akan diadakan dengan pemilik-pemilik rumah yang terjejas untuk membina tembok berhampiran rumah mereka supaya tidak dilimpahi air,” katanya.

    Sementara itu, Fadillah berkata setakat ini belum ada cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan aliran transit ringan (LRT) atau transit aliran massa (MRT) di bandar raya Kuching.

    Katanya perkara itu pernah dibincangkan oleh kerajaan negeri dan pusat namun belum ada kajian dilaksanakan berhubung cadangan tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda