Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan askar payung terjun peringati ulang tahun ke-80 OMG

    GINKEL HEATH, 22 SEPT — Ratusan anggota payung terjun mengambil bahagian dalam siri terjunan di kawasan Ginkel Heath, Tengah Belanda, kelmarin, sempena Upacara Memperingati Ulang Tahun ke-80 Operasi Market Garden (OMG), salah satu misi paling berani dalam Perang Dunia Kedua yang akhirnya tidak berjaya.

    Anggota payung terjun dari Briged Udara Mudah Alih Belanda dan 12 negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) lain turut mengambil bahagian dalam acara tersebut yang disaksikan oleh sekumpulan veteran Perang Dunia Kedua serta kira-kira 60,000 penonton.

    Datuk Bandar tempatan, Rene Verhulst, menyifatkan Ginkel Heath sebagai tempat di mana “80 tahun yang lalu, keberanian, pengorbanan, dan harapan bersatu dalam pendaratan udara semasa OMG. Hari ini, kita memperingati para askar muda yang berani mempertaruhkan nyawa, malah ada yang terkorban demi kemerdekaan.”

    Salah seorang askar yang terlibat dalam operasi tersebut, Geoff Roberts, 99 tahun, turut hadir bersama 11 lagi veteran Perang Dunia Kedua pada upacara tersebut.

    Dalam OMG, Roberts tiba di kampung berhampiran, Wolfheze, sehari sebelum pendaratan besar-besaran di Ginkel Heath pada September 1944.

    “Saya mendarat di Wolfheze menggunakan peluncur dan tugas kami seterusnya adalah untuk menguasai kawasan ini bagi ketibaan pasukan yang dijangka turun pada hari berikutnya,” kata Roberts.

    Beliau menambah bahawa ketibaan pasukan payung terjun tertunda akibat cuaca buruk dan ketika mereka tiba di kawasan penurunan, ‘keadaan sudah mula panas’ apabila tentera Jerman mula melancarkan serangan balas. – AP

    Raja Willem-Alexander (tengah) dari Belanda bertemu para veteran semasa upacara peringatan di Ginkelse Heide di Ede, pada 21 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda